WhatsApp-Image-2022-10-11-at-16.26.09
WhatsApp-Image-2022-10-11-at-16.26.09

3 pelajar POLIMAS hasilkan inovasi 'Fish Feeding', berjaya atasi masalah ternakan ikan

Adlan Farhan Azwan
13 Oct 2022 02:48pm
A
A
A

Satu kejayaan membanggakan buat warga Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah apabila tiga pelajarnya berjaya membangunkan inovasi 'Fish Feeding'.

Projek ini yang melibatkan tiga pelajar Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan Awam iaitu Muhammad Fadzil Abd Razak, Nursyazwanie Najwa Mohd Supian dan Nur Athirah Nor Zaid akan digunakan di Kolam Penternakan Ikan Tawar milik Koperasi Keluarga Koiyan, Jitra, Kedah.

Menurut Ketua Penyelaras, Noor Liza Ramli, projek ini dihasilkan bagi mengatasi masalah yang dihadapi syarikat penternak ikan dari segi kos tenaga elektrik dan kekurangan pekerja untuk memberikan makanan kepada ternakan ikan dan udang galah.

“Akibat daripada masalah yang dihadapi ini, Koperasi Keluarga Koiyan telah memohon bantuan pihak POLIMAS untuk penyelesaian masalah dan akhirnya wujudlah satu inovasi yang dinamakan Automatic Fish Feeding and Oxygen Pump Using Solar System For Fish and Lobster Pond atau nama ringkasnya Fish Feeding,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ketua Projek Pelajar, Muhammad Fadzil pula berkata, pihaknya mengambil masa selama 23 hari untuk menyiapkan projek ini.

Penyerahan Projek Inovasi Pelajar yang telah siap untuk digunakan kepada M. Jeevanandam.

“Projek ini telah melalui tiga fasa pelaksanaan kerja di mana fasa pertama adalah pembinaan sistem solar bagi tujuan bekalan tenaga elektrik.

“Fasa kedua pula pemasangan sistem bekalan oksigen bersama penapis air dan fasa terakhir ialah mesin Fish Feeding menggunakan kawalan automatik yang telah ditetapkan masa operasi serta boleh dikawal secara jarak jauh dengan menggunakan telefon pintar yang berkonsepkan Internet of Thing (IoT),” tambahnya.

Jelasnya lagi, keseluruhan operasi projek ini menggunakan tenaga solar sepenuhnya.

“Hasil pembinaan projek telah dapat membantu syarikat ternakan ikan untuk mengurangkan kos pengoperasian dari segi kos tenaga buruh dan kos tenaga elektrik yang ditanggung sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Kamaludin Daud, melahirkan rasa bangga dengan kejayaan tiga pelajar ini kerana ia berjaya membantu pengusaha kolam ternakan melaksanakan tugasan dengan lebih efektif, mudah dan menjimatkan kos.

“Ini adalah sumbangan POLIMAS kepada masyarakat kerana bantuan yang diberikan ini boleh membuka mata masyarakat bahawa kepakaran tenaga pengajar di politeknik juga setanding dengan kepakaran tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain,” ujar beliau.

Artikel berkaitan

Penyelidik UPM guna teknologi retort bagi inovasi sos labu

Penyelidik hasilkan brownies tanpa gula! Inovasi manisan daripada tumbuhan

Pelajar Politeknik cipta Pro-Filler, inovasi bantu tingkatkan pengeluaran bantal kekabu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok