UPM-RETORT2
UPM-RETORT2

Penyelidik UPM guna teknologi retort bagi inovasi sos labu

Norliza Wasilan
13 Oct 2022 02:00pm
A
A
A

Idea menghasilkan sos berasaskan labu manis tercetus selepas melihat tiada produk tanaman hiliran menggunakan tanaman berkenaan untuk dikomersialkan.

Melihat senario itu, penyelidik Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Nurhayati Khairatun telah menghasilkan inovasi sos daripada labu manis tanpa bahan pengawet.

Bagi memastikan ketahanan jangka hayat produk dalam tempoh masa yang lama, beliau telah memilih teknologi retort untuk tujuan itu.

Menurut Siti Nurhayati, teknologi berkenaan akan membantu mematikan bakteria pada makanan seterusnya memanjangkan jangka hayat makanan yang dihasilkan tanpa bahan pengawet.

“Idea pemilihan labu manis untuk dijadikan sos tercetus apabila saya lihat tiada produk tanaman hiliran labu dijadikan sos.

“Ini kerana, selalunya labu manis digunakan untuk dijadikan lauk, menghasilkan kuih seperti koci, lepat dan sebagainya.

“Selain itu, saya juga ingin membantu petani tanaman industri labu menggalakkan lagi penanaman serta mempelbagaikan lagi hasil keluaran labu,” ujarnya seperti dipetik laman sosial Facebook UPM, baru-baru ini sempena Festival of Ideas di lobi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Putrajaya.

Siti Nurhayati bersama hasil inovasinya iaitu sos berasaskan labu manis tanpa pengawet yang menggunakan teknologi retort. Foto/UPM.

 

Terdapat tiga jenis perisa sos hasil inovasi labu manis di bawah jenama Sari Rasa iaitu keju, pedas serta asli dan boleh didapati melalui pembelian di Shopee Pro Rasa Edar Niaga.

Mengulas lanjut, Siti Nurhayati memaklumkan pengeluaran sos daripada labu manis mampu membantu memacu ekonomi pertanian.

Beliau juga pada masa sama berharap produk berkenaan mendapat sambutan dan boleh dipasarkan di seluruh negara.

Selain itu, beliau juga dalam perancangan untuk membuat perkongsian bersama komuniti setempat mengenai penggunaan teknologi berkenaan dalam membantu jangka hayat produk berasaskan makanan.

“Saya berharap dapat membuat perkongsian bersama komuniti setempat seperti di luar bandar atau kumpulan yang ingin menjana pendapatan berasaskan produk hiliran labu manis ini,” tuturnya.

Mengulas lanjut, pihaknya juga sedia memberi latihan kepada industri atau kumpulan yang ingin mempelajari teknologi retort.

Ini kerana katanya, UPM sememangnya mempunyai kepakaran dalam bidang terbabit.

Artikel berkaitan

3 pensyarah UPM terima pengiktirafan Top Research Scientist Malaysia 2022

Dura Adibah, pelajar UTHM raih pengiktirafan di Korea atas perkongsian keunikan budaya Malaysia

Hebat Alesyah, tersenarai 10 finalis terbaik dalam anugerah berprestij di dunia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok