4 pelajar beraya di Malaysia, kongsi pengalaman dan kegembiraan dengan semua masyarakat
4 pelajar beraya di Malaysia, kongsi pengalaman dan kegembiraan dengan semua masyarakat

4 pelajar beraya di Malaysia, kongsi pengalaman dan kegembiraan dengan semua masyarakat

Roshlawaty Md Raieh
22 May 2022 12:28am
A
A
A

Setiap kali menyambut Aidilfitri, sudah pasti kita akan meraikan bersama keluarga tercinta dan juga orang tersayang yang berada di kampung halaman.

Suasana lebaran menjadi lebih meriah apabila semua ahli keluarga berkumpul dan bergotong-royong dalam memastikan kelengkapan hari raya mencukupi dan sempurna.

Bagaimanapun, dalam kegembiraan kita menyambut Aidilfitri, sudah pasti ada dalam kalangan masyarakat yang tidak dapat pulang ke kampung kerana tuntutan tugas masing-masing.

Begitu juga dengan pelajar luar negara yang terpaksa beraya di Malaysia disebabkan menyambung pengajian di sini.

Sinar Bestari berpeluang menemu bual empat pelajar luar negara yang berada di dalam negara dan menyambut lebaran tahun ini bersama rakan-rakan yang lain.

Mari ikuti apa kata mereka tentang Hari Raya Aidilfitri 2022 kali ini.

*****

1) “Tahun ini adalah tahun pertama saya beraya di Malaysia setelah lima tahun belajar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Ini kerana, 2022 adalah tahun akhir saya bergelar mahasiswa, jadi banyak perkara berkaitan pengajian perlu saya selesaikan tepat pada masanya.

“Oleh sebab itu, saya belum ada sebarang pengalaman tapi yakin sambutan di sini pasti meriah dengan kepelbagaian aktiviti masing-masing.

“Suka saya berkongsi cara sambutan lebaran di Brunei, di mana ia cukup berbeza dengan di sini.

“Biasanya, pada pagi raya, kaum lelaki akan menunaikan solat hari raya di masjid manakala kaum perempuan akan berada di rumah bagi membuat persiapan raya. Kemudian, keluarga lelaki dan jemaah masjid akan datang ke rumah untuk takbir raya beramai-ramai. Selepas itu, kesemua mereka akan menikmati hidangan raya yang disediakan.

“Mengenai makanan popular di Brunei pada pagi raya, tentulah saya dan keluarga menikmati nasi lemak hasil air tangan nenek tercinta. Selain itu, kami juga menikmati soto, sate, biskut raya dan sebagainya. Kelengkapan baju raya pula, biasanya saya akan memakai pakaian sedondon bersama keluarga. Cuma kali ini, saya hanya memilih baju kurung moden untuk sambutan di Malaysia.” - Aqilah Isa, 24, Brunei. Sedang mengikuti jurusan Doktor Perubatan Veterinar, UMK

Baca juga 

11 kerjaya bidang komputer yang boleh pelajar ceburi bila tamat pengajian kelak

35 tahun jadi pendidik, Cikgu Zah kini dinobat penerima Tokoh Guru Terengganu 2022

2) "Masa PKP baru-baru ini, sambutan hari raya di Malaysia cukup berlainan. Saya dan rakan-rakan hanya berkurung dalam rumah dan tidak dapat melakukan sebarang aktiviti raya.

“Memandangkan tahun ini saya masih lagi beraya di sini, sambutannya mesti meriah kerana kita semua sudah boleh menyambutnya bersama-sama. Jadi, saya tidak sabar hendak sambut lebaran esok dan sudah tentu banyak aktiviti yang dapat dilakukan pada pagi raya.

“Kalau tanya tentang menu raya, saya memang suka semua hidangan tradisional yang ada di sini seperti nasi lemak, rendang, lontong, lemang, ketupat, nasi dagang dan lain-lain lagi sangat sedap dan menyelerakan. Harap-harapnya, hidangan sebegini masih dapat dinikmati pada Aidilfitri tahun ini.” -  Aquila Modupe Otitoju, 39, Nigeria. Mengikuti jurusan di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

3) "Tahun ini merupakan tahun ke-3 saya beraya di Malaysia sejak 2020. Memang sangat berbeza apabila menyambut Aidilfitri tanpa keluarga, tapi hendak buat macam mana, saya harus kuat.

“Dua tahun sebelum ini, saya tidak dapat beraya di Singapura kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tahun ini pula, banyak tugasan yang perlu disiapkan, jadi sebab itulah  tidak dapat beraya di kampung halaman.

“Namun begitu, saya tetap seronok beraya di sini kerana dapat bersama pensyarah dan juga kawan-kawan yang lain. Pelbagai juadah raya negara ini dapat dinikmati dan pastinya saya gembira. Makanan yang paling saya suka, tentulah nasi minyak, ayam masak merah, rendang, lontong dan kuah kacang. Tidak sabar rasanya hendak menjamu selera esok hari.

“Harapan? Sudah tentu saya mengharapkan dapat pulang ke Singapura dan beraya bersama keluarga. Doakan saya agar dapat menemui mereka pada sambutan Aidilfitri akan datang.” - Muhammad Suhail Tsaqif Mohamed Ishak, 23, Singapura. Kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

4) "Baru enam bulan saya di sini. Memang sangat seronok belajar di Malaysia kerana semua pensyarah dan rakan-rakan baik hati dan peramah. Mengenai sambutan Aidilfitri 2022, buat pertama kalinya saya beraya di Malaysia kerana masih memerlukan bimbingan pensyarah dan juga perlu menyiapkan proposal tesis bersama penyelia. Saya tidak tahu bagaimana Aidilfitri disambut di sini namun yakin ia pasti meriah dan seronok sekali.

“Pagi raya nanti, saya sudah berbincang dengan rakan-rakan yang lain untuk ke masjid kampus bagi menunaikan solat hari raya. Kemudian kami akan bermaaf-maafan dan merakam gambar untuk dijadikan momen dan saat indah menyambut lebaran di Malaysia. Seterusnya, saya dan rakan-rakan lain akan beraya di rumah salah seorang ‘senior’ untuk menikmati hidangan raya yang pastinya menyelerakan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Dengarnya, banyak makanan popular di pagi raya di Malaysia ini. Cuma saya teringin untuk menikmati rendang dan lontong. Harap-harapnya, raya tahun ini, saya dapat menjamu selera dengan makanan kegemaran tersebut.

“Tentang pakaian raya pula, saya akan menggayakan beberapa helai baju kurung yang sudah dibeli pada awal Ramadan lalu.

“Besar harapan saya agar tahun depan dapat pulang beraya bersama keluarga di Jakarta, Indonesia. Sejujurnya, saya sangat merindui mereka namun tanggungjawab sebagai pelajar membuatkan saya tidak dapat pulang ke kampung. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua keluarga di sana. Jaga diri ya.” - Ghita Tamalia, 25, Jakarta. Kini sedang mengikuti jurusan Psikologi Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok