
Graduan Nanofizik UMT jadi buruan industri berteknologi tinggi
Majoriti graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Nanofizik) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta kejayaan membanggakan apabila menerima tawaran pekerjaan bergaji lebih RM3,000 sebelum sempat menghadiri Istiadat Konvokesyen UMT ke-23 pada 26 hingga 29 Oktober lalu.
Menariknya, tawaran itu bukan datang sebarangan sebaliknya dari syarikat-syarikat teknologi, makmal penyelidikan dan institusi berteknologi tinggi yang beroperasi di Lembah Klang, selatan dan utara tanah air melibatkan sektor semikonduktor dan bahan termaju.
Menurut Ketua Program Nanofizik, Profesor Madya Ts Dr Lee Oon Jew, pencapaian luar biasa tersebut adalah bukti nyata keberkesanan pendekatan Program Mod 2u2i UMT yang memberi peluang kepada pelajar menjalani pembelajaran berasaskan kerja selama setahun di industri.
"Sepanjang tempoh latihan industri, pelajar bukan sekadar belajar secara teori, tetapi turut membuktikan kemampuan mereka dalam menyelesaikan masalah sebenar di tempat kerja. Ramai antara mereka menerima tawaran bekerja sebelum menamatkan pengajian,” jelas beliau.
Beliau turut menambah, penglibatan pelajar dalam projek penyelidikan nanoteknologi dan aplikasi fizik turut menjadi faktor utama yang menarik minat majikan.
"Keupayaan pelajar menggabungkan kemahiran teknikal, komunikasi dan penyelesaian masalah menjadikan mereka aset berharga dalam dunia pekerjaan yang semakin berasaskan teknologi tinggi," katanya.
Sehingga kini, sebahagian besar graduan telah memulakan kerjaya mereka manakala selebihnya dijangka berkhidmat selepas bergraduat.
Kejayaan ini secara tidak langsung membuktikan keupayaan UMT dalam melahirkan graduan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang bukan sahaja kompeten malah menepati keperluan pasaran semasa.
Kejayaan pelajar Nanofizik UMT ini diharap menjadi suntikan semangat kepada pelajar lain dalam bidang STEM selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi kerjaya dalam nanosains, semikonduktor dan teknologi masa depan yang semakin berkembang di Malaysia.
Terdahulu, UMT terus komited memperkukuh bidang sains gunaan dan teknologi marin melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar, selaras dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan erdaya saing, berpengetahuan tinggi dan bersedia menghadapi cabaran industri global.
Ringkasan AI
- Majoriti graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Nanofizik) dari UMT mendapat tawaran pekerjaan dengan gaji lebih RM3,000 sebelum konvokesyen
- Tawaran kerja datang dari syarikat teknologi, makmal penyelidikan dan institusi teknologi tinggi di Lembah Klang dan lain-lain
- Program Mod 2u2i UMT, yang melibatkan pembelajaran berasaskan kerja selama setahun di industri, membantu pelajar mendapat tawaran kerja
- Keterlibatan pelajar dalam projek penyelidikan nanoteknologi dan aplikasi fizik menarik minat majikan
- Kejayaan ini menunjukkan keupayaan UMT melahirkan graduan STEM yang memenuhi keperluan pasaran semasa







