UPSI-LUMBABASIKAL-SINARBESTARI-2022 (1)
UPSI-LUMBABASIKAL-SINARBESTARI-2022 (1)

774 pelumba basikal meriahkan UPSI 100 Years Century Ride

nadzarul.amirnadzarul.amir
29 Nov 2022 06:12pm

Seramai 774 pelumba dalam dan luar negara memeriahkan kejohanan basikal, UPSI’s 100 Years Century Ride yang berlangsung di daerah Muallim, Perak baru-baru ini.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, daerah Muallim merupakan kawasan yang tidak asing kepada peminat sukan basikal kerana memiliki trek laluan mesra pengguna dan berlatarbelakangkan pemandangan indah gunung-ganang mendamaikan.

"Perlumbaan 100 kilometer (km) anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI merupakan salah satu acara ditunggu-tunggu dalam kalangan peminat sukan popular tersebut.

"Ia merupakan acara sukan kemuncak sambutan 100 tahun UPSI yang diraikan pada 29 November," katanya dalam kenyataan media.

Para pelumba memulakan perjalanan sejauh 100 km itu, bermula dari Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Proton City menelusuri Jalan Kuala Lumpur - Ipoh hingga Jalan Kuala Slim - Gunung Besout.

Mereka akan menembusi Jalan Sungkai Lama hingga ke susur Jalan Slim Lama, Behrang Ulu dan menuju garisan penamat di Proton City, Tanjong Malim.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin UPSI berkata, selain pelumba-pelumba tempatan, kejohanan perlumbaan basikal turut mendapat sambutan daripada pelumba-pelumba negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

"Para pelumba antarabangsa pula terdiri dari negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jepun dan Korea Selatan.

"Secara tidak langsung, penganjuran kejohanan UPSI 100 Years Century Ride memberi pendedahan dan mempromosi pelancongan daerah Muallim sehingga peringkat antarabangsa," jelasnya.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan pada kejohanan tersebut.

Muhammad Arif Aiman Mustaffa mengungguli kategori Terbuka Lelaki dengan catatan masa 2 jam 35 minit manakala Terbuka Wanita menjadi milik Noraliza Omar (2 jam 40 minit).

Kategori Elit Lelaki pula dimenangi Kee Zhe Yie (2 jam 35 minit) dan kategori Lelaki Masters serta Lelaki Senior Masters dinobatkan kepada Mohd Faizal Amir (2 jam 35 minit).

Acara perlumbaan basikal tersebut turut menyaksikan jaguh pasukan Awi Awey Hardware dari Terengganu, Mohamad Izzat Hilmi Abd Halil, muncul sebagai Raja Bukit sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 serta hadiah iringan.

Mohamad Afi Danial Ramli yang mewakili Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pula, menjadi juara kategori Terbuka Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia Datuk Dr Safry Kamal Ahmad menyampaikan hadiah berupa wang tunai bernilai RM800 kepada pemenang utama setiap kategori serta hadiah iringan pakaian dan aksesori basikal tajaan Aerobasikal Enterprise serta Ratio Dynamic Resources.

Artikel berkaitan 

Amir Izwan dinobat Tokoh Siswa UPSI 2021

UPSI, The World Bank Group bekerjasama laksana penyelidikan asuhan dan didikan kanak-kanak

Impian ratu kayak ke UPSI akhirnya termakbul!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp