270798726_295337179301423_1323520051497819661_n
270798726_295337179301423_1323520051497819661_n

88 Pegawai Kadet PALAPES UTM dan UTHM ditauliah sebagai Pegawai Muda

webadminwebadmin
08 Jan 2022 09:42pm

Seramai 88 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), ditauliahkan sebagai Pegawai Muda di dalam Rejimen Askar Wataniah, pada Jumaat.

Kesemua Pegawai Kadet tersebut telah ditauliahkan di dalam Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat Ke-39 bagi Zon Selatan.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dan dilangsungkan di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai.

Di dalam majlis yang sama, Leftenan Muda Umar Alfaruq Abdul Mutalib dianugerahkan sebagai Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UTM, manakala Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UTHM dianugerahkan kepada Leftenan Muda Amyrul Nordin.

Tan Sri PTD di dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada kesemua Pegawai Muda PALAPES Darat yang telah ditauliahkan pada hari berkenaan.

Beliau berharap agar segala ilmu dan pengetahuan yang telah diperolehi sepanjang tempoh latihan ketenteraan akan dapat memberikan manfaat dan dapat dipraktikkan di dalam apa jua bidang kerjaya yang diceburi kelak.

Kelazimannya, seseorang Pegawai Kadet PALAPES akan ditauliahkan di dalam Majlis Istiadat Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES, yang dilaksanakan dengan penuh istiadat perbarisan dan penyampaian watikah tauliah yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Baca juga Penawaran ijazah dalam kursus “makan dan minum” di universiti Perancis

Baca juga Nasihat buat guru baharu…”Jaga komunikasi, jaga adab, Insya-ALLAH, ALLAH permudahkan urusan kita”

Namun ekoran penularan wabak Covid-19, majlis tersebut digantikan dengan Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat Ke-39.

Majlis ini telah dirancang untuk dilaksanakan di lima buah zon, dijangka melibatkan 1,015 Pegawai Kadet PALAPES Darat dari 16 universiti awam, yang telah menamatkan latihan pada tahun 2020.

Majlis sebegini akan diteruskan ke empat buah zon yang lain iaitu Zon Tengah 1 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Zon Tengah 2 di Universiti Putra Malaysia, Zon Utara di Universiti Sains Malaysia dan Zon Sarawak dan Sabah di Universiti Malaysia Sarawak.

Sesungguhnya, majlis pentauliahan sebegini selaras dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Keutuhan Organisasi”, yang memberikan penekanan kepada aspek pengukuhan profesionalisme, pemerkasaan jati diri dan pembudayaan integriti, nilai etika dan moral.

Sementara itu, Leong Joe Yee yang berjaya menamatkan latihan dan bergelar Pegawai Kadet PALAPES Darat melahirkan rasa gembira dengan kejayaan itu dan ia merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan buat dirinya.

Joe Yee berkata, dia terdorong atas galakan bapanya Leong Soon Chee 60, serta minat yang mendalam terhadap senjata ketenteraan.

"Ayah saya kata kalau masuk PALAPES dapat pegang senjata dan sangat seronok untuk disertai, meskipun ayah dahulu tidak dapat sertai (PALAPES) semasa dia belajar, dengan ini saya dapat banggakan dia dan keluarga.

"Pada mulanya saya ajak juga kawan (bangsa Cina) lain… tetapi mereka tidak sertai selepas ada temu duga dan bila proses pemilihan tiba, syukur saya lepas dan berjaya ditauliah,” katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik yang berasal Sungai Nibong, Pulau Pinang itu berkata, dia tidak pernah merasa kekok sepanjang tiga tahun menyertai PALAPES.

"Aktiviti dalam PALAPES lasak dan kadang saya terfikir mahu berhenti atau tidak, tetapi bila sudah habis dan ingat semula, saya rasa sangat bangga dengan diri sendiri,” katanya yang menjelaskan PALAPES membentuk sahsiah diri dan patriotisme dalam dirinya.

Terdahulu, Joe Yee merupakan pelajar lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Aeronautik, UTM merupakan satu-satunya wanita berbangsa Cina yang menyertai PALAPES di universiti berkenaan.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/ 

Dalam pada itu, graduan UTM lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik, S. Matyalegen berkata, PALAPES membentuk dirinya untuk lebih berdisiplin, menepati masa dan bekerja dalam pasukan.

"Saya tiada masalah untuk sesuaikan diri dalam pasukan, kami semua bersatu hati dan bekerja bersama. Saya juga suka aktiviti lasak dan aktif sejak sekolah lagi, kawan-kawan dalam PALAPES sangat bantu-membantu dan amat baik sekali, tanpa pasukan mungkin saya tidak akan berjaya tauliah,” kata anak bongsu daripada tiga beradik yang berasal dari Taiping, Perak.

Sumber: Facebook Tentera Darat Malaysia dan BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp