Adziem bakal ke Switzerland, nekad harumkan nama negara dan politeknik menerusi WSC 2022 Special Edition
Adziem bakal ke Switzerland, nekad harumkan nama negara dan politeknik menerusi WSC 2022 Special Edition

Adziem bakal ke Switzerland, nekad harumkan nama negara dan politeknik menerusi WSC 2022 Special Edition

Roshlawaty Md Raieh
28 Sep 2022 12:47pm
A
A
A

Pelajar Semester Tiga, Diploma Seni Kulinari, Politeknik Merlimau (PMM), Melaka, Muhammad Adziem Wazi masih lagi terkejut apabila diumumkan bakal ke Lucerne, Switzerland, Oktober depan.

Pemergian Adziem ke sana adalah mewakili PMM dan Malaysia menerusi pertandingan Worldskills Competition (WSC) 2022 Special Edition, kategori Patisserie dan Confectionary.

Menurut Adziem, ini merupakan kali pertama dia mewakili negara dalam pertandingan berprestij.

“Alhamdulillah, syukur pada ALLAH atas segala rezeki yang dikurniakan.

“Sejujurnya saya tidak menyangka akan terpilih ke Switzerland. Ini kerana, persaingan cukup sengit. Bagaimanapun, saya sangat gembira dan insya-ALLAH, akan buat yang terbaik,” kata anak kelahiran Baling, Kedah ini.

Antara gubahan dan persembahan makanan yang dihasilkan Adziem.

Sebelum ini, Adziem pernah merangkul anugerah dalam beberapa pertandingan yang disertai.

Antaranya, diploma dalam Pertandingan MyCCskills Inovasi dan Rekacipta Pelajar 2018; pingat perak WorldSkills Malaysia Belia 2019 kategori Pastry serta Pembantu Latihan WorldSkills Kazan 2019.

Sementara itu, anak bongsu daripada lapan adik beradik ini melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokongnya sejak dari dahulu hingga sekarang

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengarah PMM, Norizam Sekak dan Ketua Jabatan Pelancongan & Hospitaliti PMM, Zaharizuan Azhar kerana banyak memberi kata-kata semangat dan motivasi sebelum bertolak ke Switzerland.

“Tidak lupa juga kepada keluarga, saudara mara dan rakan-rakan yang sentiasa menitipkan doa agar saya berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi,” ujarnya.

Doakan Adziem berjaya membawa pulang kejayaan.

Dalam pada itu, Norizam berkata, pemilihan Adziem ke pertandingan WSC 2022 Special Edition adalah satu kejayaan besar bagi politeknik.

“Alhamdulillah, saya melihat Adziem bukan sahaja berbakat dan berkemahiran dalam bidang yang diceburi tetapi dia juga mempunyai personaliti menarik dalam bidang kulinari ini.

“Saya dan warga PMM yang lain akan sentiasa mendoakan supaya dia berjaya membawa pulang kejayaan besar menerusi pertandingan tersebut,” jelasnya.

Norizam (empat dari kanan) bersama pengurusan politeknik ketika sesi 'Flag Off' Adziem dan Hasnida (lima dari kanan).

Selain Adziem, seorang lagi Pensyarah Diploma Kulinari, Hasnida Khairudin turut terpilih sebagai finalis di World Skills Malaysia Pengajar (WSMP), Oktober depan.

Kejayaan kedua-duanya itu telah diraikan oleh pihak PMM dalam satu majlis 'Flag Off ' baru-baru ini.

Artikel berkaitan 

I-CarE 9.0 bantu pelajar politeknik intai peluang pekerjaan dengan cara mudah

Peluang graduan politeknik ceburi kerjaya Tentera Darat

Kerja keras 4 penyelidik berbaloi apabila inovasi COVTIS69 mereka muncul juara


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok