UNIMAP-DIRAJA-SINARBESTARI
UNIMAP-DIRAJA-SINARBESTARI

Anak bekas tukang kasut raih Anugerah Pelajaran Diraja

nadzarul.amir
25 Nov 2022 06:29pm
A
A
A

“Ibu sumber inspirasi meraih kejayaan dalam pelajaran.” Demikian kata salah seorang penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhammad Irfan Zainur.

Siswazah Sarjana Muda Program Kejuruteraan Mekatronik itu memberitahu, kekuatan ibu, Suriani Ismael membesarkan anak-anak selepas bapa, Zainur Bakudin meninggal dunia menjadi pencetus semangat untuknya berjaya dalam kehidupan.

“Bapa yang merupakan tukang kasut meninggal dunia dan ibu menggalas tugas sebagai ketua keluarga membesarkan kami empat adik beradik.

“Penat lelah ibu menjalankan perniagaan di pasar tani untuk memastikan anak-anak memperoleh pelajaran sangat dihargai oleh kami,” katanya yang berusia 25 tahun.

Muhammad Irfan menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Sidang Satu Istiadat Konvokesyen ke-16 UniMAP yang disampaikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Tuanku Canselor UniMAP baru-baru ini.

Hadir sama Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Ts Dr Zaliman Sauli dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Azihani Datuk Ali.

Sebelum ini, dia memberitahu, mereka sekeluarga menetap di rumah setinggan berdekatan Selayang.

Bagaimanapun, katanya, kegigihan ibu menjalankan perniagaan berjaya merubah nasib keluarga dan keluar daripada kesempitan hidup.

“Selain ibu, abang yang merupakan alumni Universiti Teknologi Petronas (UTP) turut menjadi pendorong bagi saya meneruskan pengajian di UniMAP,” katanya.

Muhammad Irfan kini berjaya menempatkan diri sebagai jurutera perisian di Greatech Technology Sdn Bhd di Pulau Pinang dan berharap dapat memberi semangat dan inspirasi kepada adik-adik untuk melakar kejayaan dalam hidup mereka.

Dalam pada itu, Dr Zaliman berkata, pada Istiadat Konvokesyen 16 UniMAP yang bermula 21 hingga 24 November lalu, seramai 3,066 graduan telah menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma meliputi lapan sidang.

Katanya, bagi sidang Satu, sebanyak tiga Ijazah Kehormat, Empat Anugerah Khas dengan 11 penerima, 56 Ijazah Doktor Falsafah dan 116 Ijazah Sarjana serta 243 siswazah Sarjana Muda Keusahawanan Kejuruteraan dari Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) telah dianugerahkan.

Selain Muhamad Irfan, turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah siswazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Komputer), Wong E-Hong.

Anugerah Pingat Emas Canselor pula diraih Norhidayah Mohd Rozi dan Rachel Ooi Qian Yi.

Bagi Anugerah Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada Muhammad Azman Muhamar Waren, Ang Si Wei, Ali Saleh Ali Al-Farzaeai, Mohammad Syafizul Zolkurnin dan Lim Jia Chyin.

Sebelum itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Datuk Dr Ir Ts Annuar Mohd Saffar, Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Presiden Universiti Yamanashi, Profesor Shinji Shimada dan Ijazah Kehormat Sarjana Sains Kemanusiaan kepada Atlet Para Olahraga Kebangsaan, Datuk Abdul Latif Romly.

Artikel berkaitan

Walau diuji dengan penyakit misteri, Fatini tetap raih 9A SPM, diterima masuk UniMAP

35 mahasiswa UniMAP terima komputer riba

3 atlet UniMAP wakil negara dalam kejohanan sukan universiti di Thailand


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok