poli-mukah
poli-mukah

Anugerah Pengarah bukti kesungguhan Mohd Hamzah untuk menjadi arkitek berjaya

Adlan Farhan Azwan
20 Sep 2022 12:33pm
A
A
A

Ingin menjadi seorang arkitek yang berkebolehan membina bangunan tertinggi di dunia dan berhasrat membantu negeri kelahirannya, Mukah, Sarawak, menjadi sebuah negeri maju adalah antara impian graduan Politeknik Mukah, Mohd Hamzah Bakawi, 22.

Dia yang menerima Anugerah Pengarah pada Majlis Konvokesyen Politeknik Mukah Ke-14, baru-baru ini, turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Anugerah Ketua Jabatan serta pengurniaan Diploma Kejuruteraan Awam.

Menurutnya, dia sangat bersyukur kerana terpilih untuk menerima anugerah berkenaan dan berterima kasih kepada semua individu yang telah membantunya sepanjang tiga tahun tempoh pengajian di Politeknik Mukah.

Mohd Hamzah ketika berada di atas pentas untuk menerima anugerah.

“Sudah semestinya individu penting yang menyumbang kepada kejayaan ini ialah ibu bapa saya, pensyarah dan semua rakan-rakan di Politeknik Mukah ini.

“Saya bangga kerana dapat bersama rakan-rakan lain menyerikan lagi majlis konvokesyen pada kali ini,” katanya selepas menghadiri upacara konvokesyen tersebut, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, terdapat tiga perkara yang sentiasa disemat dalam dirinya semasa bergelar pelajar di Politeknik Mukah selama tiga tahun.

“Tiga perkara yang menjadi kunci utama kepada kejayaan saya hari ini ialah sentiasa menitipkan doa buat kedua ibu bapa, sentiasa bersyukur dan berusaha mendekatkan diri dengan agama,” tambahnya.

Jelasnya lagi, penglibatannya dalam pelbagai aktiviti akademik dan kokurikulum yang dianjurkan di politeknik dan peringkat antarabangsa merupakan detik bersejarah dalam hidupnya.

Mohd Hamzah bersama ahli keluarganya.

“Politeknik ini lain daripada institusi pengajian yang ada kerana ia dapat mendidik pelajar dengan cara yang tersendiri.

“Sepanjang tempoh pembelajaran di sini (Politeknik Mukah), saya sangat aktif dalam pelbagai jenis aktiviti, antaranya kesukarelawan dan saya bermula sebagai kru dan ahli jawatankuasa (AJK) untuk membimbing pelajar baharu.

“Keluar sahaja dari Politeknik Mukah, saya terus terlibat dalam Sukarelawan Rakan Muda Bintulu serta Sukarelawan Vaksin peringkat kebangsaan dan banyak lagi,” ujar Mohd Hamzah.

Sementara itu, hasil berkat ilmu yang dipelajari, Mohd Hamzah kini berjaya membangunkan perniagaan sendiri yang menjual produk ikan masin dari Bintulu untuk dipasarkan ke seluruh Sarawak.

“Minat saya ke arah keusahawanan didorong oleh Unit Keusahawanan Politeknik Mukah kerana melalui unit ini banyak aktiviti keusahawanan yang telah saya sertai.

“Hasilnya, saya dapat mendaftar satu perniagaan di bawah nama Hamzah Bakawi International dengan menjual ikan masin,” katanya.

Artikel berkaitan

Rezeki UMS, rangkul 2 anugerah pada majlis AKRI 2022 

I-CarE 9.0 bantu pelajar politeknik intai peluang pekerjaan dengan cara mudah

Airiel Haziq mahu jadi arkitek, hasilkan lukisan seni bina kerana minat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok