Bakal guru bentang hasil kajian menerusi Seminar Penyelidikan Pendidikan
Bakal guru bentang hasil kajian menerusi Seminar Penyelidikan Pendidikan

Bakal guru bentang hasil kajian menerusi Seminar Penyelidikan Pendidikan

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
16 Nov 2022 09:19am

Seramai 180 pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu telah membentangkan hasil penyelidikan masing-masing pada Seminar Penyelidikan Pendidikan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Jun 2019, baru-baru ini.

Seminar yang bertujuan memupuk budaya penyelidikan dalam kalangan pelajar PISMP Ambilan Jun 2019 itu turut menghimpunkan barisan Pegawai Pendidikan Daerah, guru besar dan pensyarah dari IPG Kampus Dato’ Razali Ismail untuk perkongsian ilmu mengikut kepakaran masing-masing.

Menurut Pengarah IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Narita Mohd Noor, bakal pendidik perlu bersiap sedia dalam mencipta perubahan bersesuaian dengan kata-kata Neil Armstrong iaitu ‘Research is creating knowledge’.

“Amalan penyelidikan dalam kalangan siswa guru kini perlu seiring dengan ledakan teknologi, isu dan cabaran dalam bidang pendidikan.

“Mereka juga perlu berusaha membina jati diri yang mampan, berkualiti dan mempunyai minda kelas pertama.

“Kerana itu, Seminar Penyelidikan Pendidikan PISMP Ambilan Jun 2019 dapat dijadikan sebagai salah satu landasan penjanaan ilmu baharu yang mampu menyumbang kepada mutu profesionalisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran siswa guru,” ujarnya dalam ucapan alu-aluan pada seminar tersebut.

Dalam ucapan yang sama, Narita berharap hasil dapatan dan penemuan dalam penyelidikan yang dilaksanakan pelajar akan membawa persepsi baharu seterusnya memberi pembaharuan dalam pedagogi khususnya ke arah kemajuan dalam pendidikan.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah berkata, guru merupakan insan penting dalam membentuk kemenjadian seseorang murid.

“Cabaran menjadi seorang guru pada masa kini sememangnya tidak dapat dinafikan berikutan bebanan kerja yang kian bertambah dalam memastikan pengurusan pengajaran di dalam kelas sentiasa berjalan dengan baik.

“Bagaimanapun, ia mampu diatasi sekiranya guru dan bakal guru dapat membahagikan masa dengan sebaiknya,” ujar Abdul Muie dalam majlis yang sama.

Seminar yang bertemakan ‘Penyelidikan Pendidikan Pemangkin Era Kecemerlangan Global’ menyediakan pelbagai pengisian sepanjang ia berlangsung.

Antara pengisiannya adalah persembahan busking dan pembentangan penyelidikan dari enam pelajar Jabatan Pengajian Melayu, Jabatan Bahasa-Bahasa dan Jabatan Pengajian Islam.

Seminar yang dianjurkan Jabatan Perancangan, Penyelidikan dan Inovasi dengan kerjasama Jawatankuasa Pelajar PISMP Ambilan Jun 2019 turut menjemput Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu, Datuk Satiful Bahari Mamat bagi merasmikan majlis penutup seminar berkenaan.

Dalam ucapan penutup, Satiful Bahari berharap segala usaha yang dilakukan bakal guru dalam seminar ini, dapat memberi motivasi serta membuka minda melakukan pelbagai perubahan dunia pendidikan melalui penyelidikan yang berkualiti.

Artikel berkaitan 

Ikon tersohor, Dr Maskiah curah ilmu Kesusasteraan Melayu kepada 70 pelajar SMK Jugra

11 cara atasi murid mengantuk, guru wajib tahu ini

Pengacaraan sudah sebati dalam diri, Cikgu Ahmad Baqi asah bakat sejak di IPG


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp