Ikon tersohor, Dr Maskiah curah ilmu Kesusasteraan Melayu kepada 70 pelajar SMK Jugra
Ikon tersohor, Dr Maskiah curah ilmu Kesusasteraan Melayu kepada 70 pelajar SMK Jugra

Ikon tersohor, Dr Maskiah curah ilmu Kesusasteraan Melayu kepada 70 pelajar SMK Jugra

Roshlawaty Md Raieh
01 Oct 2022 01:43pm
A
A
A

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jugra, Banting, Selangor merupakan satu-satunya sekolah di dalam daerah Kuala Langat yang masih mempertahankan subjek Kesusasteraan Melayu.

Ini kerana, Kesusasteraan Melayu yang kini dikenali sebagai Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) perlu dipertahankan disebabkan subjek berkenaan mempunyai banyak kelebihan.

Menyedari akan kepentingan KMK dalam pembelajaran hari ini, SMK Jugra mengambil inisiatif dengan menganjurkan Program Kesusasteraan Melayu Di Hatiku secara dalam talian, baru-baru ini.

Program kolaborasi di antara SMK Jugra dengan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) Johor itu membabitkan penyertaan seramai 70 pelajar Tingkatan Empat dan Lima sekolah berkenaan.

Menurut Pengarah Program, Cikgu Noreha Norsiwan, objektif program adalah memberi kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan subjek dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Antara pelajar SMK Jugra yang mengikuti Program Kesusasteraan Melayu Di Hatiku.

Ia juga bertujuan mengubah persepsi pelajar dalam mata pelajaran KMK dan menunjukkan hala tuju serta peluang kerjaya yang lebih luas dalam bidang sastera.

Cikgu Noreha berkata, pihaknya turut menjemput Dekan Pendidikan KUIJSI, Dr Maskiah Masrom untuk berkongsi ilmu berkaitan bidang kesusasteraan kepada peserta yang terlibat dan antara perkongsiannya adalah cara-cara menghasilkan karya yang baik dan kepentingan kesusasteraan pada masa kini.

Selain mencurah ilmu tentang bidang sastera, Dr Maskiah juga berkongsi pengalaman pahit manisnya sepanjang pembabitan dalam dunia penulisan.

Sementara itu, Pengetua SMK Jugra, Rossita Ramlan memuji program yang diadakan dan berharap para pelajar dapat mempraktikkan segala ilmu yang diberikan Dr Maskiah sekali gus berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM kelak.

Sebahagian pengisian aktiviti sepanjang program berlangsung.

Bagi dua guru subjek KMK iaitu Cikgu Suhanariyah Sugiman dan Cikgu Nor Azni Amir Hamzah, mereka melahirkan penghargaan kepada Dr Maskiah kerana sanggup berkongsi segala ilmu yang ada kepada anak-anak didik di SMK Jugra.

“Beliau seorang ikon tersohor dalam dunia sastera. Ilmu kesusasteraannya cukup banyak. Beruntung pelajar di sini kerana mendapat tunjuk ajar dan suntikan semangat daripada Dr Maskiah,” ujarnya.

INFO

Personaliti Dr Maskiah

  • Beliau dilahirkan di Kampung Sungai Jambi Darat, Rengit, Batu Pahat, Johor.
  • Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
  • Kini bertugas sebagai pensyarah Sekolah Pendidikan merangkap Ketua Pusat Penerbitan dan Penyelidikan di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH).
  • Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat selama 13 tahun sebagai guru di Johor, Melaka dan Sabah dan 14 tahun sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim, Johor.
  • Beliau memenangi lebih 20 kali sayembara penulisan termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Berunsur Islam, Hadiah Sastera Darul Takzim, Anugerah Sastera Johor, Hadiah Sayembara Cerpen dan sebagainya.
  • Dr Maskiah telah dinobatkan sebagai alumni tersohor bidang kepengarangan cerpen oleh UKM pada 2016. Malah, Persatuan Penulis Johor juga memberikan pengiktirafan Anugerah Kecemerlangan Penulis Johor (2020) dan Anugerah Pencapaian Penulis Johor (2013 dan 2015).
  • Beliau juga telah dipilih sebagai Ikon Guru Peringkat Kebangsaan, Ikon Guru Negeri Johor dan Ikon Guru IPG Kampus Temenggong Ibrahim (2016).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok