Bantu pasang capaian internet di sekolah terpilih, projek khidmat komuniti pelajar universiti berjaya
Bantu pasang capaian internet di sekolah terpilih, projek khidmat komuniti pelajar universiti berjaya

Bantu pasang capaian internet di sekolah terpilih, projek khidmat komuniti pelajar universiti berjaya

Roshlawaty Md Raieh
09 May 2022 04:24pm
A
A
A

Sekumpulan pelajar dan pensyarah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalankan projek khidmat komuniti dengan melaksanakan kerja pemasangan penghala wayarles beserta antena luaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau Melaka, baru-baru ini.

Projek khidmat komuniti yang diketuai Profesor Madya Dr Imran Mohd Ibrahim itu turut dibantu tujuh pelajar berkemahiran dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK).

Menurut Imran, misi utama projek ini adalah memastikan SMK Dang Anum mendapat capaian internet yang baik bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berorientasikan akses internet dapat dilaksanakan.

“Penggunaan penghala wayarles ini merupakan pilihan yang terbaik kerana ia lebih menjimatkan perbelanjaan kepada pihak sekolah memandangkan mereka boleh menggunakan kad sim mana-mana syarikat telekomunikasi beserta pakej data yang dirasakan sesuai dengan keperluan pembelajaran.

“Malah, peralatan ini juga mudah alih sekiranya pihak sekolah merasakan ada keperluan untuk memindahkan lokasi kelas berdasarkan kesesuaian dan penggunaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Baca juga

Sering berdepan ketakutan ketika berucap, berikut 14 persediaan yang wajib pelajar hadam!

Kanak-kanak 6 tahun jalan kaki ke sekolah, jurugambar kongsi suasana selamat di Jepun

Sambung beliau lagi, projek tersebut juga menjadi serampang dua mata kerana pihak UTeM bukan sahaja mencurahkan khidmat komuniti malah ia turut menjadi platform pendedahan awal kepada pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) wayarles yang semakin tinggi keperluannya pada masa kini.

Mengulas lebih lanjut, beritahu Imran lagi, program berkenaan tidak terhenti setakat ini sahaja kerana terdapat beberapa program susulan bersama pihak sekolah yang sedang dirancang seperti peluang kerjaya dalam bidang kejuruteraan termaju dan program inovasi teknologi bagi memupuk minat pelajar-pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Dang Anum, Norhafiz Haron berkata, terdapat dua kawasan strategik telah dipilih untuk pemasangan penghala wayarles ini.

Kawasan itu adalah kelas pembelajaran pelajar kelainan upaya dan kelas mentelaah pelajar-pelajar di asrama yang mana pihak sekolah menilainya sebagai keperluan yang mendesak.

“Terima kasih atas sumbangan pihak universiti yang telah berjaya menyempurnakan kerja-kerja pemasangan dari mula hingga selesai,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok