mahasiswa-utm-perniagaan-cendawan
mahasiswa-utm-perniagaan-cendawan

Bekerja sambil belajar, mahasiswa UTM kini pemilik perniagaan cendawan berjaya

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
04 Jul 2022 02:00pm

Menjadi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sepenuh masa tidak menghalang minat Mohamad Faiz Zainudin, 26 untuk menceburi bidang keusahawanan sehingga berjaya memiliki perniagaan cendawan sendiri.

Mohammad Faiz yang merupakan pelajar di UTM Azman Hashim International Business School (AHIBS), UTM mula mengorak langkah dalam dunia perniagaan setelah berhenti kerja di syarikat perkapalan.

Menurutnya, dia terpaksa bekerja lebih 12 jam dalam sehari dan pada masa waktu yang sama berhasrat untuk melanjutkan pelajaran.

“Oleh itu, saya berhenti bekerja untuk menyambung pengajian di AHIBS UTM dan menyertai Koperasi Mahasiswa UTM.

“Disebabkan minat yang mendalam terhadap dunia perniagaan, saya menghadiri pelbagai acara yang dianjurkan oleh koperasi dan dari situlah saya mendapat ilham untuk mencipta perniagaan pertama,” jelasnya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Hasilnya, Mohamad Faiz telah berjaya untuk membina empat syarikat sendiri tetapi ia juga merupakan kegagalan pertama disebabkan pandemik Covid-19 yang memaksa salah satu syarikatnya ditutup.

Di sebalik kegagalan yang dihadapi, ia memberi ruang kepada Mohamad Faiz untuk menceburi bidang perniagaan berasaskan pertanian.

Dia yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Usahawan Industri Cendawan Malaysia kini fokus sepenuhnya kepada perniagaan cendawannya iaitu Mush.Co Sdn Bhd yang semakin mendapat sambutan daripada orang ramai.

Antara produk yang ditawarkan oleh Mush.Co ialah aneka variasi cendawan segar, perkhidmatan penanaman cendawan dan produk sampingan iaitu habuk papan.

Selain itu, Mush.Co juga menyediakan latihan yang akan dijalankan pada setiap bulan kepada orang ramai yang berminat untuk menceburi bidang tersebut.

Mush.Co yang terdiri daripada lapan orang kakitangan sentiasa melakukan penyelidikan dan projek pembangunan untuk memastikan produk yang diketengahkan itu sesuai dengan pasaran tempatan.

Salah satu inovasi yang berjaya dihasilkan ialah penanaman cendawan menggunakan sistem Internet of Things (IoT) yang digunakan untuk mengawal kelembapan, suhu dan pengudaraan cendawan dengan menggunakan telefon pintar.

Selepas dua tahun, Mush.Co mempunyai tiga cawangan di sekitar Johor iaitu Kempas, Bandar Dato Onn dan Pasir Gudang malah syarikat itu juga sedang melakukan projek dengan kerjasama kerajaan untuk membangunkan projek pertanian bandar di Johor Bahru.

Dalam pada itu, Mohamad Faiz menyifatkan faktor utama dalam kejayaannya hari ini adalah pemikiran yang dimiliki olehnya.

“Untuk menjadi seorang pemimpin atau pemilik syarikat, anda perlu memiliki minda yang kuat dan juga kemahuan untuk tidak berputus asa walaupun menghadapi masalah.

“Usahawan muda yang ingin berjaya tidak perlu takut untuk menceburi apa-apa bidang dan sentiasa mencuba perkara baharu,” ujarnya.

Sumber: UTM Newshub

Artikel berkaitan

Bantu ibu berniaga sewaktu balik sekolah, pelajar ini tetap peroleh keputusan SPM yang membanggakan

Konsep asas dalam perniagaan yang penting diketahui sebelum memulakan perniagaan sendiri

(VIDEO) Mahasiswa B40 berbisnes di IPT raih pendapatan T20


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp