Bersusah payah, pahit jerih... akhirnya 204 pelajar tamat latihan Inspektor Kor Sukarelawan Suksis
Seramai 204 mahasiswa ditauliahkan pangkat Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi (Suksis) Zon Utara pada Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan yang bertempat di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau, Perlis, baru-baru ini.
Daripada jumlah tersebut, 56 anggota dari UniMAP, sementara dua pasukan lagi dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menerima pentauliahan daripada Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail.
Katanya, semua pegawai hendaklah menjauhkan diri daripada segala bentuk gejala sosial, dan sebarang bentuk pelanggaran undang-undang negara.
“Sebagai pegawai kor, anda seharusnya menjadi contoh ikutan kepada pelajar-pelajar lain dengan sentiasa menjaga disiplin diri ke arah membentuk generasi graduan yang berjaya dan cemerlang dalam segenap aspek kehidupan.
“Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat mengamalkan disiplin yang tinggi, berintegriti, mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Raja dan negara.
“Pada masa sama, turut mematuhi undang-undang, sentiasa berbakti dan melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat serta negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar semua pegawai dapat menjadikan profesion kepolisan sebagai kerjaya pilihan utama.
Sambungnya, pengalaman menjalani latihan selama tiga tahun bersama kor suksis akan menjadi satu kelebihan dalam proses saringan dan temuduga yang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada majlis sama, penerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan UniMAP, Abdul Khalim Al Azizi Syahril, berkata, sejak kecil memang bercita-cita untuk menjadi anggota polis.
“Walaupun tiada ahli keluarga terdiri daripada polis, namun saya berhasrat menjadi seorang anggota kerana begitu meminati kerjaya ini agar saya lebih berdisiplin dan dapat berkhidmat kepada masyarakat dan negara,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar USM, Mas Diyatul Fitri Che Ros dari USM menarik perhatian ramai apabila menerima pentauliahan dengan tangan berbalut akibat pergelangan tangan yang patah.
“Pada awalnya, saya agak kecewa kerana bimbang tidak dapat ditauliahkan akibat kecederaan berkenaan selepas tiga tahun bertungkus-lumus menyertai latihan kor suksis.
“Namun, syukur jurulatih kor suksis USM dan jurulatih yang lain serta rakan-rakan banyak membantu sehingga saya juga menerima Sijil Tamat Latihan, selain dinobatkan antara penerima anugerah pelatih terbaik akademik,” katanya yang jatuh ketika berkawad pada hari pertama latihan di UniMAP.
Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts Dr Zaliman Sauli, Ketua Polis Perlis DCP, Datuk Surina Saad, Ketua Penolong Pengarah JPJKK PDRM Senior Asisten Komisioner Polis, Azhan Abdul Halim, dan Komandan-komandan Kor Suksis Zon Utara.
Artikel berkaitan
65 pelatih Kor SUKSIS UKM ditauliah Inspektor Sukarelawan PDRM
Berkat sabar jalani latihan, akhirnya 106 pelatih terima sijil pentauliahan Inspektor Kor Suksis