smile-1
smile-1

Bot terbalik, tugasan hanyut dibawa air tidak patahkan semangat Wellyes raih Anugerah Naib Canselor

Adlan Farhan Azwan
27 Sep 2022 06:46pm
A
A
A

Siapa sangka, di sebalik kejayaan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor (ANC), graduan Diploma Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Kampus Samarahan, Wellyes Cheluday hampir berputus asa akibat kejadian yang menimpanya dua tahun lalu.

Jun 2020 adalah tarikh keramat yang menjadi saksi kepada tragedi bot terbalik semasa dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menghadiri majlis keramaian.

Kejadian yang berlaku di kawasan perairan Oya, Sarawak itu menyebabkan barang-barang penting miliknya seperti seperti telefon bimbit, dompet dan tugasan universiti hanyut dibawa arus sungai.

Menurut Wellyes, pada mulanya dia buntu dan hilang arah tuju kerana tidak tahu apa yang patut dilakukan.

“Saya tetap berazam untuk meneruskan perjalanan dalam menimba ilmu walaupun telah menimpa musibah.

“Jadi, suka atau pun tidak, saya terpaksa membuat semula tugasan daripada awal kerana pensyarah tidak menerima alasan saya,” katanya selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen UiTM Sarawak Ke-94, baru-baru ini.

Dalam pada itu, anak kelahiran Kanowit, Sarawak itu juga memberitahu, dia tidak mempunyai perancangan untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi walaupun menerima tawaran daripada beberapa buah universiti.

Jelasnya lagi, keputusan untuk tidak melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda adalah atas faktor perlu menanggung keluarga.

“Jadi, buat masa sekarang saya sedang menunggu keputusan temu duga untuk jawatan sebagai penolong pentadbir di sektor kerajaan,” jelasnya.

Dia yang kini sedang bekerja sambilan sebagai juruwang di sebuah kedai di Sibu tetap memanjatkan kesyukuran atas kejayaannya hari ini walaupun mendepani pelbagai cabaran.

Pada istiadat konvokesyen tersebut, seramai 998 graduan UiTM Sarawak, Kampus Samarahan telah menerima skrol yang disampaikan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor.

Sumber: Suara Sarawak

Artikel berkaitan

Graduan perlu ada 5 kemahiran ini sebelum memasuki alam pekerjaan

Status OKU penglihatan bukan penghalang buat Cikgu Iran Shah cipta inovasi lancarkan PdP

Sering dihina dan dipandang rendah, Ammar kini bergelar graduan University of Manchester


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok