PALAPES-UNIMAP-SINARBESTARI-2022
PALAPES-UNIMAP-SINARBESTARI-2022

113 pegawai muda diraikan sempena Istiadat Pentauliahan PALAPES

nadzarul.amir
21 Nov 2022 04:15pm
A
A
A

Pegawai muda perlu sentiasa siap siaga menabur khidmat dan bakti dalam menjamin keselamatan komuniti setempat.

Bahkan, keharmonian hidup bermasyarakat perlu dipelihara demi memastikan kedaulatan negara sentiasa terjaga.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pegawai muda perlu berpegang teguh kepada lima prinsip rukun negara dan ikrar sebagai rakyat Malaysia yang setia bagi mengelak kesejahteraan negara terjejas.

“Usaha mengekalkan keharmonian negara memiliki rakyat berbilang kaum bukan sesuatu yang mudah.

“Tanpa kerjasama generasi muda nescaya negara akan menghadapi kepincangan dengan perpaduan rakyatnya yang rapuh.

“Pegawai muda perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutama berhubung perihal komuniti setempat agar sebarang keadaan yang tidak diingini dapat dielakkan,” titah Baginda pada majlis Santapan Malam sempena Pentauliahan Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UniMAP yang berlangsung di Raia Hotel & Convention Centre, di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Baginda menyempurnakan Istiadat Pentauliahan PALAPES UniMAP melibatkan seramai 113 pegawai muda dalam Rejimen Askar Wataniah.

Baginda yang merupakan Canselor UniMAP bertitah, pegawai muda perlu sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi bencana terutama pada penghujung tahun apabila banjir kerap melanda negara.

“Pegawai muda harus bersedia menabur khidmat dan bakti dalam menjamin keselamatan komuniti setempat. Mereka perlu menjaga keharmonian hidup bermasyarakat,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts Dr Zaliman Sauli berkata, tahun ini merupakan tahun istimewa kerana Istiadat Pentauliahan telah diadakan sebanyak dua kali.

Beliau berharap pegawai muda yang telah melangkah ke alam pekerjaan tidak melupakan UniMAP dan status alumni PALAPES mereka.

“Kami mengalukan-alukan sumbangan seperti idea, dana atau kerjasama strategik yang boleh diberikan dalam membantu, membangunkan serta melestarikan PALAPES UniMAP,” katanya.

Artikel berkaitan

3 atlet UniMAP wakil negara dalam kejohanan sukan universiti di Thailand

88 Pegawai Kadet PALAPES UTM dan UTHM ditauliah sebagai Pegawai Muda

Alumni PALAPES UniMAP bantu pegawai kadet tingkatkan kecemerlangan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok