Pelajar MSU promosi warisan budaya Malaysia di Uzbekistan, jalin hubungan melalui kebudayaan

Rasyidah Zulkifi
02 Sep 2022 11:01am
A
A
A

Kebudayaan merupakan antara faktor utama yang menyatukan rakyat sesebuah negara termasuk dalam hubungan antara dua negara.

Bagi memperkasakan konsep pendidikan merentasi sempadan, Management & Science University (MSU) melalui Kelab Performing Arts and Culture (PACC) telah berkunjung ke Republik Uzbekistan untuk mendapat pengalaman pembelajaran antarabangsa, khususnya melalui aspek kebudayaan.

Ia juga merupakan kesinambungan kepada kunjungan kumpulan penari kebudayaan Uzbekistan ke MSU pada Julai lalu yang menyaksikan mereka mempelajari seni kebudayaan serta bahasa Melayu.

Dalam memastikan aspek perkongsian kebudayaan berjalan secara optimum dan berkesan, ahli kelab PACC telah mempersembahkan seni tarian kebudayaan Malaysia yang turut disertai penari kebudayaan dari Uzbekistan di empat rangkaian stesen televisyen Uzbekistan.

Rombongan yang sama turut disertai Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid serta kakitangan pengurusan kanan MSU yang telah melakukan kunjungan hormat bertemu Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Hendy Assan.

Bagi memperkasakan aspek apresiasi kebudayaan, rombongan MSU turut berkunjung ke Kementerian Pelancongan dan Warisan Budaya Republik Uzbekistan serta tempat-tempat menarik tumpuan pelancong dan bersejarah di Tashkent, Bukhara termasuk Samarkand.

Penyertaan ahli kelab PACC ini juga merupakan antara pendekatan MSU dalam memberikan akses pendedahan global kepada para pelajarnya.

Pendekatan ini termasuklah Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP) dan pelajar MSU mempunyai akses kepada rangkaian lebih 150 rakan universiti di seluruh dunia sebagai pilihan untuk mendapatkan pendedahan antarabangsa.

Artikel berkaitan

Penyelidik UKM reka corak warisan Melayu pada telekung

UPM, PMNP jalin kerjasama penyelidikan warisan sejarah

Awan Gempita, tampil keunikan warisan sejarah Malaysia-Indonesia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok