
Program pinjaman pendidikan Mara telah dibuka, pelajar IPT mohon sebelum 15 April depan
Permohonan Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Majlis Amanah Rakyat (Mara) di bawah Program Penajaan Pengajian Tertiari (TESP) 2022 telah dibuka, baru-baru ini.
PBU Mara terbuka kepada pelajar lepasan prauniversiti, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan diploma yang mendapat tawaran atau sedang menyambung pengajian bagi peringkat ijazah pertama.
Syarat-syarat permohonan
Pemohon mestilah warganegara Malaysia yang berumur tidak melebihi 40 tahun.
Baca juga
Yayasan Bank Rakyat tawar pembiayaan pendidikan bernilai RM16.05 juta kepada pelajar
Mereka mempunyai salah seorang ibu atau bapa merupakan Bumiputera yang tidak disenarai hitam oleh Mara.
Pendapatan bulanan keluarga hendaklah memenuhi syarat kelayakan Status Sosio-Ekonomi (SES) dan calon tidak pernah menerima pinjaman daripada mana-mana badan pembiaya.
Bagi pemohon yang mempunyai masalah kesihatan perlu mendapatkan surat pengesahan daripada doktor bertauliah terlebih dahulu.
Syarat-syarat akademik
Bagi permohonan buat kali yang pertama, pelajar telah mendapat tawaran dan mendaftar di institut pengajian tinggi (IPT) bermula Januari 2022.
Calon juga mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 3.00 ke atas di peringkat prauniversiti, STPM atau diploma.
Bagi pelajar sedia ada pula, pemohon hendaklah mempunyai baki tempoh pengajian tidak kurang dari satu tahun.
Calon juga mestilah mendapat CGPA 3.00 ke atas di peringkat prauniversiti, STPM atau diploma peperiksaan terdahulu.
Di samping itu, pemohon perlu lulus dengan kepujian dalam subjek Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kaedah Permohonan
TESP perlu dibuat secara dalam talian di portal Mara menerusi laman sesawang http://www.mara.gov.my bermula 31 Mac hingga 15 April 2022.
Calon hendaklah memastikan maklumat telah diisi kerana permohonan yang tidak lengkap atau lewat tidak akan diproses.
Mereka yang disenarai pendek perlu mencetak dan menghantar dokumen berkaitan dengan Mara selepas dimaklumkan terpilih.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Calon dianggap tidak berjaya permohonan jika tidak mendapat maklum balas Mara selepas tiga bulan tarikh tutup iklan dan keputusan adalah muktamad.
Mara berhak menarik balik atau menamatkan tawaran pinjaman jika pelajar didapati memberi maklumat palsu.