STEM4FUN-2
STEM4FUN-2

STEM4FUN, galak minat pelajar bidang STEM

Norliza Wasilan
23 Sep 2022 10:40am
A
A
A

Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) melaksanakan inisiatif memperkasa pengetahuan berteraskan Sains, Matematik, Teknologi dan Kejuruteraan (STEM) kepada pelajar sekolah menengah menerusi Program STEM4FUN.

Program berkenaan memberi pendedahan dan memupuk minat pelajar sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dalam mata pelajaran berteraskan STEM.

Pelbagai aktivtit menarik dilakukan bagi menarik golongan itu antaranya demonstrasi penggunaan blok elektronik (Snap Circuits), dron, teknologi realiti tambahan (augmented virtual reality) dan robot.

Menurut Ketua Projek yang juga pensyarah Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM, Profesor Madya Ir Dr Ahmad Sabirin Zoolfakar, pendedahan itu bertujuan menggalakkan pelajar memilih jurusan STEM di peringkat pengajian tinggi dan kerjaya.

Ujarnya, pelajar akan didedahkan dengan pengalaman pembelajaran baru mengenai STEM terutamanya dalam bidang peranti elektron.

“Selain itu, program STEM4FUN ini juga membabitkan pendedahan kepada teknologi hijau, pengunaan gajet atau peranti teknologi dalam memantapkan pemahaman pelajar dalam mata pelajaran STEM.

“Aktiviti ini akan memberi pendedahan kepada lebih 1,000 pelajar (sekolah sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur) dalam usaha memperkasakan pengetahuan STEM.

“Seterusnya, akan melahirkan modal insan berkemahiran dalam bidang yang menjadi teras kepada Revolusi Industri 4.0,” ujarnya seperti dipetik portal berita UiTM ketika lawatannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Dr Ahmad Sabirin ketika berinteraksi bersama pelajar SMK Seksyen 7 Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Program komuniti STEM4FUN itu turut dilaksanakan bersama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pihak industri untuk mewujudkan Quadraple Helix antara entiti universiti, industri, agensi kerajaan, Kementerian Pendidikan (KPM) dan komuniti.

Rakan strategik yang turut serta menyokong program ini ialah Institute Electrical Electronic Engineering (IEEE) Electron Devices Society (EDS) Malaysia, Pusat STEM Negara, AR Distributor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Sabirin berkata, beliau bersama Profesor Ir Dr Norhayati Soin, Profesor Madya Dr P Susthitha Menon, Ir Ts Dr Rozina Abdul Rani, Ir Dr Maizatul Zolkapli dan Ir Dr Azrif Manut bertanggungjawab memberi pendedahan kepada pelajar sekolah yang terpilih.

“Minat pelajar sekolah perlu dipupuk dan diasah berkaitan penggunaan teknologi menggunakan kreativiti dan mengembangkan kemahiran dalam pemikiran kritis.

“Kecemerlangan murid STEM ke peringkat tertiari ini dapat mengalakkan penyelidikan, pembangunan dalam ciptaan baru dan inovasi,” tambahnya lagi.

Artikel berkaitan

2 pensyarah UiTM cipta kit Simulasi Luka bergred makanan, bantu pelajar fahami jenis luka

Penerapan STEM di peringkat universiti, apa kesannya?

Robot tarik tali, pupuk minat murid dalami bidang STEM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok