Penerapan STEM di peringkat universiti, apa kesannya?
Penerapan STEM di peringkat universiti, apa kesannya?

Penerapan STEM di peringkat universiti, apa kesannya?

webadmin
13 Sep 2022 06:10pm
A
A
A

Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berupaya menyediakan kemahiran yang menjadikan para pelajar berkebolehan dalam bidang tertentu dan bersedia untuk bekerja bagi memenuhi permintaan semasa.

Setiap komponen STEM membawa sumbangan berharga kepada pendidikan yang menyeluruh, tidak terkecuali di peringkat tertinggi iaitu di universiti.

Pendidikan STEM menghubungkan komponen ini dalam satu bentuk sistem yang padu.

Oleh itu, ia berupaya menyediakan profesional yang boleh mengubah masyarakat dengan inovasi dan penyelesaian yang mampan.

Namun begitu, sehingga kini adakah pendekatan STEM ini yang digilap dari peringkat akar umbi boleh dilihat kesannya sehingga ke peringkat universiti?

Sejauh mana program ini dapat membentuk satu aliran dari segi minat dan keupayaan secara konsisten dari peringkat rendah kepada universiti?

Tidak dinafikan, pendekatan STEM dalam pendidikan dapat memupuk kreativiti dan pemikiran yang berbeza di samping penerapan disiplin asas.

Dalam skop yang lebih luas, ia memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menjana teknologi dan idea baharu.

Justeru, adalah penting untuk meneroka peluang dalam bidang ini bagi tujuan membangunkan kemahiran baharu yang perlu ada pada setiap pelajar.

Walaupun keperluan untuk kemahiran STEM semakin meningkat, sehingga kini hubungan antara pilihan subjek STEM dan kesannya terhadap laluan pendidikan pelajar perlu dikaji dengan lebih mendalam.

Termasuklah pelajar lulusan di peringkat menengah yang telah memiliki laluan dalam pendidikan STEM, berupaya beralih dengan lancar ke peringkat pendidikan tinggi dalam bidang sealiran.

Ini kerana pada akhirnya, kita ingin melihat literasi STEM diterjemahkan kepada dunia pekerjaan dengan lebih berkesan.

Bilangan jauh lebih rendah

Sehingga tahun 2021, statistik Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan bahawa bilangan pelajar yang mendaftar dalam bidang berkaitan Sains, Matematik, Komputer, Kejuruteraan, Pembuatan dan Pembinaan, di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, adalah 334,742 yang mana jauh lebih rendah daripada 570,858 yang mendaftar dalam Seni dan Kemanusiaan, Pendidikan, Sosial Sains, Perniagaan dan Undang-undang.

Angka ini membimbangkan kerana ia jauh daripada perancangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Ia juga tidak selari dengan sasaran yang ditetapkan jawatankuasa untuk mencapai 60:40 Sains: Seni, berdasarkan Malaysia Education 2013-2025 Blueprint dari KPM.

Kesannya boleh dilihat pada peluang dan pasaran pekerjaan yang mana empat daripada lima pekerjaan baharu yang dilaporkan di Malaysia adalah berkaitan dengan bidang STEM.

Berdasarkan statistik National Council for Scientific and Research Development, negara juga perlu mempunyai 500,000 saintis dan jurutera menjelang tahun 2020 untuk menangani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Apatah lagi dengan isu semasa yang membimbangkan seperti laporan Berita Harian yang menyatakan pada 2019, sebanyak 71 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Berdasarkan statistik KPT juga, lebih 30,000 pelajar tidak menamatkan pengajian di IPTA pada 2020 dan 2021 iaitu bersamaan 2.99 peratus pada 2020 dan 2.27 peratus pada 2021. Antara faktor yang dikenal pasti ialah masalah kesihatan, masalah peribadi, gagal peperiksaan dan gagal mendaftar.

Justeru itu, dengan segala isu terkini, bagaimana kita dapat melihat penerapan pendidikan STEM ini secara positif di peringkat universiti seterusnya menjadi pemangkin kepada profesional sains dan teknologi yang diperlukan negara.

Untuk itu, adalah perlu satu kajian menyeluruh dibangunkan bagi mengenal pasti keberkesanan penerapan STEM di setiap peringkat agar matlamat sebenar STEM diwujudkan mampu direalisasikan.

Bagi memperkasakan Pendidikan STEM, KPM telah menggariskan tiga fasa gelombang transformasi iaitu, Wave 1 (2013-2015), Wave 2 (2016-2020) dan Wave 3 (2021-2025) yang mana diperkenalkan menerusi, Malaysia Education 2013-2025 Blueprint.

Antara perangkaan aktiviti yang menarik perhatian dalam Wave 3 ialah melancarkan inovasi dan program ICT untuk kumpulan yang berkeperluan khas, memperkukuh kementerian dan institusi dalam mentransformasikan dengan kemajuan kerjaya, serta menyemak struktur sekolah untuk menentukan sama ada pilihan persekolahan dan perkembangan aliran seterusnya dioptimumkan.

Perangkaan aktiviti ini dilihat antara inisiatif yang boleh memberi peluang bagi melihat dengan jelas bagaimana penerapan positif STEM ke peringkat lebih tinggi, khususnya bidang ICT.

Maklumat Penulis:

Dr Rosmamalmi Mat Nawi - Pensyarah dan Penyelaras STEM, Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Artikel berkaitan 

Robot tarik tali, pupuk minat murid dalami bidang STEM

Terapkan STEM dalam pendidikan, guru dan pelajar SBPI Selandar mara ke peringkat antarabangsa

Hasilkan produk inovasi, sekolah terap elemen STEM dalam kalangan pelajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan