2 (3)
2 (3)

CEDS hasilkan We-SET, bantu lepasan SPM pilih program diploma di UTHM

Norliza Wasilan
30 Aug 2022 12:36pm
A
A
A

Kumpulan Penyelidik Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membangunkan Web Based Self Evaluation Tool (We-SET) bagi membantu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih program diploma yang sesuai dengan keputusan diperoleh.

Inovasi We-SET ini dibangunkan sekumpulan penyelidik Sustainable Product Development (S-ProuD) yang diketuai Dekan CeDS, Ts Dr Mohd Shahir Yahya dengan dibantu Pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat, Fawwaz Mohd Nasir dan Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Ts Mohd Muzaffar Zahar merangkap Ketua Unit Jawatankuasa Promosi CeDS.

Dr Mohd Shahir berkata, penyelidikan dan pembangunan We-SET bermula apabila ramai pelajar dan ibu bapa menghubungi pejabat CeDS bertanyakan mengenai kesesuaian keputusan SPM dengan kelayakan untuk memasuki program diploma.

Ujarnya, pada awal penghasilan inovasi alat simulasi ini, penyelidik menggunakan platform google sheet yang kemudiannya mendapat maklum balas untuk penambahbaikan.

Menurutnya lagi, pada Disember tahun lalu, produk inovasi ini telah ditambah baik dengan penghasilan alat simulasi berasaskan web melalui laman web rasmi CeDS.

“Kelebihan We-SET ini, ia dapat mengurangkan masa semakan dan pemilihan tujuh program diploma yang bersesuaian dengan keputusan SPM pelajar sehingga 92 peratus pengurangan masa.

“Pelajar juga boleh mengetahui semua maklumat pengajian diploma tertentu secara terus melalui pautan yang diberikan pada setiap program.

“Perkara ini sangat membantu pelajar membuat keputusan dalam menentukan pemilihan program diploma yang sesuai dengan minat mereka,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Shahir berkata, menerusi inisiatif berkenaan, pihak pengurusan boleh mendapat data secara terus berkaitan potensi dan kelayakan pelajar yang berminat mengikuti program diploma UTHM.

Ujarnya, ia sekali gus membantu memenuhi kuota penawaran ke program Diploma UTHM selain melalui sistem UPU.

Menurutnya lagi, dengan adanya We-SET ini, pihaknya berharap dapat membantu pelajar dan ibu bapa untuk mendapat maklumat tepat mengenai program diploma yang bersesuaian dengan keputusan SPM.

“We-SET juga diharap dapat dijadikan sebagai medium bagi membantu Jawatankuasa Promosi CeDS mempromosi program diploma ke sekolah-sekolah supaya pelajar yang bakal mengambil SPM akan lebih cakna dengan subjek yang perlu diberi tumpuan bagi memenuhi kelayakan masuk ke program Diploma UTHM,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai We-SET ini, boleh layari laman sesawang https://ceds.uthm.edu.my/program/syarat-kemasukan/web-based-self-evaluation-tool.

Artikel berkaitan

UTHM lahir usahawan IKS, tembusi pasaran global

Kolej Kediaman Kampus Pagoh UTHM diiktiraf penganjur kempen derma darah kutipan tertinggi

UTHM rai alumni antarabangsa dan bakal pelajar di Batam


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok