Untitled design (36)
Untitled design (36)

Diuji kehilangan abang sulung, hidap masalah jantung bukan penghalang raih PhD

Azleenda Sahaludin
30 Nov 2022 09:13am
A
A
A

"Walaupun terpaksa menempuh dugaan dan cabaran sehingga jatuh berkali-kali. Kita hendaklah terus bangkit dan bersemangat kerana nilai sesebuah ilmu tersebut bakal menentukan masa depan lebih cerah”

Itulah pesanan graduan, Dr Mazani Mohammad Yusop, 45, yang berjaya menggenggam Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kesihatan Awam pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj, UPM baru-baru ini.

Dr Mazani Mohammad Yusop (jubah merah) bergambar kenangan bersama keluarganya.

Dr Mazani memberitahu, perjalanannya dalam meraih PhD di UPM penuh berliku apatah terpaksa menempuh dugaan sehingga menyebabkan dirinya hilang tumpuan dan arah tuju.

“Saya mula hilang semangat untuk meneruskan pengajian apabila menerima khabar berita tentang kehilangan abang sulung pada tahun ketiga akibat serangan jantung.

“Abang sulung saya merupakan sumber motivasi kepada saya, namun kehilangannya telah menyebabkan motivasi yang saya pegang selama ini turut hilang bersama pemergiannya,” katanya kepada Sinar Bestari.

Sejak itu, Dr Mazani memaklumkan, beliau turut menghilangkan diri dari dunia luar selama tiga bulan termasuk tidak menghubungi penyelia PhDnya.

Bukan itu sahaja, selang tiga bulan selepas pemergian abangnya, beliau juga disahkan menghidapi masalah jantung sehingga pembedahan terpaksa dilakukan.

“Saya telah dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk melakukan pembedahan memasang stent di dalam salur darah bagi membolehkan pengaliran darah tanpa halangan.

"Selain itu, ia bertujuan mengelakkan diri saya daripada terkena serangan jantung," ujarnya.

Tambahnya, walaupun terpaksa berulang-alik ke IJN bagi mendapatkan rawatan, ia bukan alasan untuk dirinya melengahkan masa pengajian disebabkan rasa tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

"Sekiranya, saya melengahkan masa ia akan mengundang masalah kepada diri sendiri dan akhirnya tidak dapat bergraduasi tempoh masa ditetapkan,” katanya.

Bapa kepada empat orang anak itu memberitahu, setiap cabaran ditempuhi dalam mencapai cita-cita merupakan proses pembelajaran yang mampu mendidik diri seseorang menjadi lebih sabar dan berlapang dada.

Beliau yang kini merupakan tenaga pengajar di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia berpesan, kepada para pelajar yang sedang berjuang menamatkan pengajian perlu sentiasa bersemangat dan tidak mudah putus asa dalam meraih impian mereka.

"Walaupun sukar dan pahit untuk ditelan, sentiasa ingat bahawa setiap kepahitan itu pasti ada manisnya di penghujung nanti,"jelasnya.

Artikel berkaitan

15 tahun pengajian di UPM, Mun Yee capai impian genggam ijazah sarjana

Tahniah pensyarah dan penyelidik UPM! Rangkul 9 pingat emas di PECIPTA 2022

Penyelidik UPM terima Pingat Saintis Muda Polar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok