
Ratu Catur UiTM, Puteri Munajjah sasar kejayaan di FIDE Women’s World Cup 2025
Nama Puteri Munajjah Az-Zahraa Azhar bukan lagi asing dalam dunia catur tempatan dan antarabangsa.
Di fahamkan, pelajar Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) (CDCS230), Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini antara pemain catur wanita terbaik negara yang telah meraih pelbagai pencapaian cemerlang dalam sukan berkenaan.
Setakat ini, Puteri Munajjah telah dinobatkan sebagai Juara Kejohanan Catur Kebangsaan Malaysia 2025 (Kategori Wanita).
Dia juga turut menyumbang pingat gangsa dalam 21st ASEAN University Games (AUG) 2024 iaitu satu pencapaian membanggakan buat kontinjen Malaysia dan UiTM.
Terbaharu, Puteri Munajjah terpilih mewakili Malaysia ke FIDE Women’s World Cup 2025, kejohanan catur wanita paling berprestij di dunia yang bakal berlangsung di Georgia.
Penyertaan ini bukan sahaja meletakkan Malaysia di peta dunia catur, malah memperlihatkan ketokohan Puteri Munajjah sebagai pemain elit yang semakin matang dalam permainannya.
Dalam satu hantaran di laman Facebook Universiti Teknologi MARA - Media Rasmi, pihak universiti menyatakan rasa bangga mereka terhadap kejayaan tersebut.
"Seluruh warga UiTM menyifatkan kejayaan ini sebagai lambang ketekunan, kesungguhan dan semangat juang tinggi yang dimiliki oleh Puteri Munajjah.
"UiTM turut menzahirkan doa dan sokongan penuh agar beliau terus melakar lebih banyak kejayaan dan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan pelajar yang lain," kata mereka.
Meninjau ruangan komen di media sosial, rata-rata warga maya menitipkan ucapan tahniah dan berharap kejayaannya akan membuka mata lebih banyak pihak tentang potensi besar anak muda Malaysia dalam bidang catur.
Zulkifli Bin Harun: "Tahniah dan syabas. Selamat berjuang dan berjaya seterusnya."
Wong Orep: "Teruskan usaha semoga cemerlang di pentas dunia."
Kamarul Hisham: "Syabas dan selamat maju jaya diucapkan kepada Puteri Munajjah Az-Zahraa. Malaysia berdiri bersamamu!"
Diaz Man: "Didoakan berjaya jadi juara."
Che Hay Nasir: "Selalu tenang fokus dan semangat yang tinggi yakin pada diri pasti berjaya."
Shaari Osman: "Moga terus berjaya harumkan UiTM dan negara."
Nazri Mat: "Bangga dengan UiTM. Terbaik orang kita mendoniaaa..."