Untitled design
Untitled design

Fakulti Pendidikan UiTM jalin kerjasama dengan KBRS

webadmin
24 Jan 2022 04:38pm
A
A
A

SHAH ALAM - Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini dalam usaha menjangkau keberkesanan yang maksimum daripada aspek kurikulum, penyelidikan dan inovasi.

Untuk itu, baru-baru ini mereka telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Kelab Badminton Rashid Sidek (KBRS).

Menurut Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan UiTM, Dr Mohd Khairezan Rahmat, MoU itu adalah antara usaha bagi membolehkan pentauliahan secara formal kepada tenaga pengajar sukan badminton.

“Setakat ini, tiada lagi modul yang khusus dalam sukan badminton dan dari situ pihak universiti membuat keputusan untuk menjalin kerjasama dengan KBRS.

“Datuk Rashid Sidek merupakan legenda badminton negara. Jadi, dengan kepakaran dan ilmu yang ada pada beliau, pihak universiti berharap agar MoU ini dapat memberi manfaat dari segi tahap kebolehpasaran pelajar.

“Bagi memastikan keberkesanan proses kejurulatihan sukan badminton kepada pelajar sekolah pula, pihak universiti bersama-sama KBRS akan membangunkan sebuah modul dalam masa terdekat untuk dijadikan panduan bagi bakal guru dan juga guru sedia ada yang mengikuti kursus pentauliahan dan kejurulatihan sukan badminton,” katanya kepada GPSBestari ketika ditemui selepas Majlis Simbolik Menandatangani dan Penyerahan MoU di antara Fakulti Pendidikan UiTM bersama Rakan Strategik Fakulti Pendidikan UiTM, di sini, baru-baru ini.

Baca juga Politeknik Melaka salur bantuan untuk mangsa banjir di 2 negeri

Baca juga Asah bakat kepimpinan sejak bangku sekolah, kisah pemuda ini boleh dicontohi

Dalam pada itu, selain bekerjasama dengan KBRS, Fakulti Pendidikan UiTM turut memeterai MoU bersama 34 rakan-rakan strategik yang lain dan tidak ketinggalan juga beberapa universiti antarabangsa antaranya Ohio University, Amerika Syarikat; Ewha Woman University, Korea; Lourdes College, Filipina; Hengshui University, China; Tamil Nadu Teachers Education University, India; Universitas Pendidikan Indonesia, Universitas Negeri Jakarta, Universitas Wirajaya, Universitas Negeri Malang, Universitas Negeri Yogyakarta, Indonesia; Bule Hora University, Ethiopia, Afrika, dan Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia.

Dekan Fakulti Pendidikan UiTM, Profesor Ts Dr Sharipah Ruzaina Syed Aris yang turut hadir di majlis itu turut berkata, jalinan hubungan dengan industri, agensi dan komuniti telah menjadi salah satu agenda utama dalam memastikan kelangsungan sesebuah universiti.

“Hal ini secara tidak langsung akan mempromosikan kepakaran warga universiti untuk menyumbang kepada perkongsian, pembangunan, pengkomersialan dan penggemblengan sumber secara berterusan dan bersama.

“Tautan industri, agensi dan masyarakat secara strategik bersama universiti juga akan dapat menjangkau keberkesanan yang maksimum daripada aspek kurikulum, penyelidikan dan inovasi,” jelas beliau.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Bagi menyokong hasrat itu, Fakulti Pendidikan UiTM telah merangka dan menyediakan platform serta saluran perkongsian pengetahuan, kepakaran, kemahiran dan pengalaman dalam kalangan pakar-pakar daripada industri, agensi dan komuniti baik dari dalam mahupun luar negara.

Dalam pada itu, sesi perbincangan meja bulat secara hibrid turut diadakan bagi membuka peluang perancangan beberapa siri program serta aktiviti berterusan bagi memenuhi tuntutan misi, visi serta perancangan strategik kesemua pihak yang terlibat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok