New Project
New Project

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM: 20 tahun memartabatkan keilmuan bidang sains sosial dan kemanusiaan

webadmin
26 Nov 2021 02:50pm
A
A
A

Tanggal 15 November lalu, genaplah usia Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke-20 tahun.

FSSK telah ditubuhkan pada tahun 2001 hasil penstrukturan semula tiga buah fakulti rumpun sains sosial iaitu Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK), Fakulti Pengajian Bahasa (FPB) dan Fakulti Sains Pembangunan (FSP).

FSSK kini terdiri daripada enam pusat kajian merangkumi pelbagai cabang ilmu sains sosial dan kemanusiaan, iaitu Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTRA), Pusat Kajian Media dan Komunikasi (MENTION), Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik (PKBL), Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), dan Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (BITARA MELAYU).

Dalam tempoh berkenaan, pelbagai kecemerlangan dan kejayaan yang membanggakan telah diraih demi meneruskan legasi memartabatkan keilmuan bidang sains sosial dan kemanusiaan.

Hal ini selaras dengan visi FSSK dalam membentuk suasana penjanaan ilmu terkamil untuk pembangunan insan yang bergerak seiring dengan arus dalam acuan kebangsaan.

Bagi memenuhi misi memangkin dan mencetus pemikiran terkini dalam pembentukan peradaban bangsa pula, fakulti ini telah menggariskan empat matlamat.

Matlamat pertama, melahirkan siswazah luwes dan mempunyai ciri profesional yang relevan dan boleh pasar serta bersifat pembelajar seumur hidup. Kedua, memajukan siswazah yang mengimbangi ilmu asas dan gunaan. Ketiga, menjana, menyebar dan mengkhazanah ilmu di peringkat global yang beracuan kebangsaan. Matlamat keempat pula menyumbangkan kepakaran dalam pelaksanaan pembentukan dasar dan program yang bertaraf kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

Pada hari ini, FSSK bukan sahaja menawarkan 12 program pengajian prasiswazah di dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan tetapi juga program pascasiswazah yang meliputi mod pengajian kerja kursus dan penyelidikan secara sepenuh atau separuh masa.

Dengan tenaga akademik seramai 167 orang, fakulti ini mempunyai 2,403 pelajar prasiswazah dan 1,313 pelajar siswazah. Sehingga kini, FSSK telah berjaya melahirkan seramai 62,385 alumni.

Kebitaraan fakulti ini dalam lapangan sains sosial dan kemanusiaan telah diiktiraf oleh QS World University Ranking by Subject 2021. FSSK menduduki tangga ke-248 terbaik dunia dan nombor empat di Malaysia dalam bidang Sains Sosial dan Pengurusan. Dalam bidang Sastera dan Kemanusiaan pula FSSK menduduki tangga ke-248 terbaik dunia dan nombor empat di Malaysia.

FSSK juga bersungguh-sungguh untuk menjadikan penyelidikan berimpak tinggi sebagai satu budaya yang akan terus diamalkan dalam kalangan kakitangan akademik.

Kejayaan telah dibuktikan pada tahun 2020 apabila penyelidik FSSK mampu cemerlang dalam pelbagai aspek seperti memperoleh geran penyelidikan peringkat nasional dan antarabangsa, menjalankan kerjasama penyelidikan bersama industri, menghasilkan penerbitan artikel jurnal berimpak tinggi serta melahirkan pakar rujukan dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.

Setelah dua dasawarsa penubuhannya, FSSK telah berjaya membuktikan bahawa bidang sains sosial adalah sama penting dan seiring dengan keperluan di dalam bidang sains dan teknologi dalam arus pembangunan negara. Disiplin-disiplin ilmu sains sosial seperti antropologi, sosiologi, psikologi, sains politik dan komunikasi amat penting dalam mendukung aspirasi negara.

Mendepani masa depan, fakulti beriltizam agar terus berada di landasan yang tepat sejajar peredaran zaman agar mampu menjadi pusat rujukan ilmu yang bertaraf antarabangsa dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.

Hal ini sesuai dengan tema Sambutan 20 Tahun Kecemerlangan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan iaitu “Malar Segar... Kebanggaan Sepanjang Zaman”.

Penulis:

Muhd Norizam Jamian

Pensyarah, Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok