Golongan asnaf di Kepulauan Sabah dibantu menerusi misi kemanusiaan

Roshlawaty Md Raieh
14 Jan 2023 09:57am
A
A
A

MISI kemanusiaan di Pulau Sebangkat, Semporna, Sabah yang disertai pasukan Jemaah Profesor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan serta Fakulti Pergigian telah berjalan dengan lancar, baru-baru ini.

Misi kemanusiaan yang mendapat kerjasama Pertubuhan Semporna Prihatin, Yayasan Taqwa, Pusat Alumni dan Kerjaya serta Pusat Wakaf dan Zakat USIM berobjektif membantu asnaf di pulau berkenaan dalam pelbagai aspek.

Sebahagian peserta misi kemanusiaan di Kepulauan Sabah.

Menurut Profesor Datuk Dr Zulkiple Abdul Ghani yang mengetuai delegasi berkenaan, beberapa aktiviti telah dijalankan sepanjang misi kemanusiaan itu berlangsung.

“Antaranya, melatih kumpulan guru untuk mengajar anak-anak asnaf di pulau-pulau sekitar Sabah dan hasilnya, mereka sudah mula mengenal huruf, boleh mengira, membaca iqra dan menghafal bacaan solat.

Penduduk di pulau berkongsi kisah dengan wakil misi kemanusiaan.

“Selain itu, alumni USIM (peserta) yang berkhidmat sebagai doktor pakar turut menawarkan perkhidmatan rawatan gigi percuma kepada penduduk Kampung Pulang Sebangkat, Pulau Maiga dan Pulau Kulapuan dan mereka mendapat kerjasama pasukan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,” kata Zulkiple dengan menambah dalam misi kemanusian itu, Naib Canselor, Profesor Ts Dr Sharifudin Md Shaarani dan barisan pegawai lain seperti Profesor Datuk Dr Musa Ahmad, Profesor Dr Zurina Shafiee dan Profesor Datin Dr Sapora Sipon turut serta menyertai misi pemindahan ilmu bersama masyarakat asnaf di Sabah.

Turut disumbangkan sebuah generator untuk kegunaan masjid Pulau Sebangkat.

Sementara itu, pengasas Pertubuhan Semporna Prihatin, Hassan Unus berkata, pelbagai aktiviti kebajikan, kerohanian dan pendidikan telah di jayakan bersama di beberapa pulau di pedalaman Semporna.

”Untuk pengetahuan bersama, asnaf di pulau sangat memerlukan perhatian masyarakat di luar sana. Mereka bukan sahaja tidak mempunyai fasiliti asas seperti pengangkutan awam, air bersih dan elektrik, malah bermacam-macam lagi kemudahan yang dinikmati di kawasan bandar tidak dapat dirasai oleh penduduk pedalaman pulau ini.

“Sebagai salah seorang yang turut serta dalam misi kemanusiaan ini, kami terharu melihat kesungguhan dan pengorbanan pasukan USIM yang sanggup turun padang menyantuni asnaf terpinggir di pedalaman pulau. Terima kasih semua,” ujar Hassan yang merupakan alumni USIM.

Anak-anak di pulau gembira apabila menerima sumbangan.

Artikel berkaitan 

Rangkul naib johan dan pendebat terbaik, USIM kongsi tip kejayaan mereka

Muhammad Hakimi teruja diberi peluang lanjutkan pengajian di USIM

USIM bantu rawatan gigi dan pemeriksaan kesihatan percuma masyarakat Orang Asli


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok