

UMS rangka langkah mitigasi sebagai persediaan hadapi sebarang gangguan
Masalah air yang kerap berlaku di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi salah satu faktor Naib Canselor, Naib Canselor institusi pengajian tinggi itu, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor menjalankan pemantauan berkala terhadap paras air di tapak tangki R13.
Secara tidak langsung, pembinaan tangki pengimbang juga terus diawasi bagi memastikan kesiapsiagaan UMS untuk menerima kemasukan mahasiswa baharu dan Peperiksaan Akhir Semestar yang dijadualkan bermula pada minggu hadapan.
Disebabkan kekurangan tersebut, UMS telah merangka beberapa langkah mitigasi sebagai persediaan menghadapi sebarang gangguan air.
Menerusi perkongsian universiti itu di laman Facebook, langkah berkenaan termasuk penyediaan tangki simpanan air di lokasi strategik, pemantauan berterusan tekanan dan kapasiti air serta pelan penghantaran air menggunakan lori tangki jika perlu.
Pada sesi tinjauan baru-baru ini, Kasim Mansor telah diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan UMS, Ir Ts Mohd Ari Nazrul Abd Rahman berkenaan status bekalan air semasa.

Disebabkan mahasiswa baharu akan mula mendaftar, Naib Canselor UMS memberi penekanan berkaitan keperluan bekalan air yang mencukupi, khususnya ketika Minggu Suai Mesra (MSM) Pelajar Baharu Asasi dan peperiksaan akhir yang bakal berlangsung.
Pihak universiti akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi memastikan kelangsungan dan kestabilan bekalan air sepanjang tempoh itu.
Jaminan turut diberikan kepada para pelajar, ibu bapa dan seluruh warga kampus bahawa pihak universiti sentiasa komited dalam memastikan kebajikan serta keselesaan semua pihak tidak terjejas.
Sekiranya berlaku lagi sebarang isu berkaitan bekalan air, pihak berkenaan akan mengambil tindakan segera.