Graduan cemerlang IKN promosi seni batik guna Tiktok
Anis Suraya Aini dinobatkan Anugerah Ketua Pengarah pada Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) kali ke-20 memasang impian memastikan seni batik terus digemari golongan muda malah tersohor sehingga persada dunia.
Menariknya, graduan berusia 21 tahun itu sentiasa mempromosikan teknik seni batik yang dipelajari melalui platform Tiktok untuk memberi pendedahan tentang khazanah negara kepada orang ramai.
“Saya selalu memuat naik ilmu yang dipelajari dengan menggunakan platform tersebut kerana ia merangkumi audiens lebih meluas termasuk di luar negara.
“Agak mengejutkan apabila ramai juga yang ingin mengetahui tentang seni batik Malaysia. Ia kemungkinan kebanyakan rekaan batik yang saya olah menggunakan motif tumbuhan serta warna-warna menarik,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) kali ke-20 di Dewan Cindai, IKN, Rawang, Selangor, hari ini.
Dia yang mengikuti kursus Diploma Seni Kraf Batik berharap dapat diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran atau terus berkarya menghasilkan seni batik.
Anak kelapan daripada 11 adik-beradik itu memberitahu, dia akan menggabungkan motif-motif tradisional dan moden dalam pembikinan karya batiknya.
“Ia berikutan saya ingin melihat seni berzaman ini terus diminati dan menjadi perhatian para golongan muda. Siapa kata orang muda tidak menggemari batik,” ujarnya.
Dia yang berasal dari Segamat, Johor turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Terbaik Diploma Seni Kraf Batik.
Anis Suraya memberitahu, minat mendalam terhadap seni visual dan kreatif membuatkan dia memilih jurusan Seni Kraf Batik apatah lagi apabila mendapat sokongan daripada adik-beradik lain.
“Pada mulanya, saya membantu abang sebagai pelayan di kedainya tetapi dia mengetahui saya sangat meminat bidang seni.
“Justeru, dia tidak teragak-agak untuk memastikan saya mendalami bidang seni di IKN agar bakat terpendam tidak disia-siakan supaya dapat menyumbang kepada pemuliharaan seni batik,” katanya.
Artikel berkaitan
Trend tayang keputusan SPM semua ‘G’ di TikTok, bukan satu kebanggaan
Guna TikTok untuk pembelajaran, bukan tujuan peribadi – NUTP
Tiktok salah satu terapi untuk pelajar, aplikasi dalam talian terkini pilihan anak muda hari ini