etnik-murut
etnik-murut

Graduan UMS bangga berpakaian etnik Murut ketika majlis konvokesyen

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
14 Dec 2022 01:39pm

Graduan Diploma Lepasan Ijazah (DPLI) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mira Afattirisia Arim memilih menggayakan pakaian tradisi etnik Murut semasa menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-24 yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS, Sabah baru-baru ini.

Menurutnya, dia berbangga memadankan busana Pinongkoloh dengan tujuan memperkenal dan mempromosi kesenian etnik sendiri.

“Saya merupakan satu-satunya anak dalam kalangan adik-beradik berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti dan bertekad meyakinkan orang kampung bahawa etnik Murut mampu berjaya.

“Di kampung halaman, kebanyakan penduduk terutamanya golongan muda lebih selesa untuk bekerja setelah tamat alam persekolahan berbanding melanjutkan pengajian di menara gading,” katanya.

Justeru, wanita berusia 25 tahun itu memasang impian supaya dapat membawa harapan keluarga yang ingin menyaksikan dia naik ke atas pentas menerima segulung ijazah.

Sejak kecil, Mira Afattirisia berazam untuk melanjutkan pengajian di UMS kerana tidak mahu berjauhan dengan keluarga bagi memudahkan ibu bapanya hadir ke majlis konvokesyen.

Katanya, ia merupakan hari yang amat bersejarah kerana impian untuk menyarung jubah kepada ibunya menjadi kenyataan sebagai tanda penghargaan dalam menyokong dan memberi dorongan sepanjang dua tahun tempoh pengajian.

“Meskipun saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata, saya sentiasa mendapat sokongan daripada suami untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Oleh itu, saya ingin menceburi bidang pendidikan dengan menyambung pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada bulan Januari tahun depan.

Mira Afattirisia memberitahu, sekiranya berjaya menamatkan pengajian di UPSI, dia akan mengenakan pakaian itu ketika menerima DPLI bersama ibu bapa dan membawa mereka menaiki kapal terbang supaya merasai suasana serta budaya di Semenanjung.

Artikel berkaitan

Hadiri konvokesyen berbaju Melayu, graduan Harvard bangga jadi anak Malaysia

Bangga dengan tradisi Sarawak, Dr Kaleena hadiri konvokesyen berpakaian tradisional Orang Ulu

Anugerah Pelajar Perakaunan MIA Terbaik 2021 milik Yishal dari UMS


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp