Idea pelajar ini buat juri terpukau, menang Anugerah Projek Terbaik
MERLIMAU - Projek Homeless Transit Centre 1 yang dihasilkan penuntut Diploma Seni Bina, Jabatan Kejuruteraan Awam, Nurul Liyana Mat Zaik bersama pensyarahnya, Izalisa Ahmad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Projek Terbaik Kategori Sains Sosial sempena program PERKAYA Inovasi anjuran Politeknik Merlimau, Melaka (PMM), baru-baru ini.
Anugerah Projek Terbaik Kategori Sains Fizikal pula dimenangi oleh kumpulan pelajar dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti yang diketuai oleh Muhammad Khairil Amri Suhaimi bersama pensyarahnya, Izatul Syazreen Mohd Ismail yang mengetengahkan produk inovasi D’Innovation of Ecohaqiba.
Anugerah Khas Juri pula menjadi milik kumpulan pelajar dari program Diploma Pengurusan Pelancongan yang menghasilkan produk inovasi Acceptance Muslim Friendly Product of "7 in 1 ibadah Kit" dengan seliaan pensyarah Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Ruhana Wati Iran.
Izalisa berkata, beliau memberi ruang dan kebebasan penuh kepada pelajarnya untuk mencari idea bagi berkarya sekali gus menghasilkan inovasi berdasarkan kaca mata mereka sendiri.
"Saya ingin memberi kredit kepada Nurul Liyana kerana berjaya menghasilkan reka bentuk bangunan pusat transit gelandangan kepada penduduk di bandar sehingga berjaya menarik hati juri.
"Reka bentuk baharu ini mengikut konsep 'simplicity modernist' yang menambah pendekatan moden terhadap kawasan warisan tetapi pada masa yang sama menghargai persekitaran warisan.
"Dalam konsep moden ini juga, teknologi hijau telah diterapkan ke dalam reka bentuk bangunan seperti taman di atas bumbung dan dinding kaca sebagai cahaya semula jadi," katanya.
Sementara itu, Pengarah PMM, Mohd Hatta Zainal, berkata menerusi penganjuran kali ini, sebanyak 59 produk inovasi pelajar telah dipertandingkan yang mewakili jabatan masing-masing.
"Antara jabatan yang terlibat ialah Jabatan Kejuruteraan Awam (12 penyertaan), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (13 penyertaan), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (tujuh penyertaan), Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (14 penyertaan) dan Jabatan Perdagangan sejumlah 13 penyertaan.
"Program ini adalah selari dengan visi politeknik iaitu sebagai peneraju institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang unggul.
"Melalui penyelidikan dan inovasi ini, para pelajar berpeluang mengaplikasikan kemahiran teknikal dalam bidang atau program yang mereka ceburi sekali gus memberi nilai tambah apabila berada di pasaran pekerjaan kelak," ujarnya.
Dalam pada itu, Izatul Syazreen berkata, produk inovasi D’Innovation of Ecohaqiba yang dihasilkan oleh pelajarnya merupakan produk penghasilan beg berkonsepkan bumi hijau dan menggunakan sepenuhnya pelitup muka sebagai bahan utama.
"Idea ini tercetus apabila saya bersama kumpulan pelajar yang diketuai oleh Muhammad Khairil melihat banyak pelitup muka yang ada dibuang begitu sahaja sehingga memberikan penambahan kepada masalah isu alam sekitar. Maka dari situ, timbul idea bagi memanfaatkan pembaziran ini.
"Para pelajar juga telah mengadakan perbincangan lanjut dengan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan teknologi hijau dalam merealisasikan konsep produk ini," kongsinya.