

Subsidi bersasar: Memperkasakan rakyat, memanfaatkan dana negara
Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan kos sara hidup, isu kecekapan pengagihan subsidi semakin menjadi tumpuan utama dasar awam negara.
Selama bertahun-tahun, subsidi menyeluruh atau subsidi “blanket” dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat tanpa mengambil kira tahap kemampuan sebenar penerima.
Walaupun pendekatan itu dilihat inklusif, hakikatnya ia turut menguntungkan golongan berpendapatan tinggi dan menyebabkan perbelanjaan fiskal kerajaan meningkat secara mendadak.
Situasi ini menimbulkan persoalan besar, adakah adil jika mereka yang berkemampuan turut menikmati keistimewaan sama seperti rakyat marhaen yang bergelut untuk menampung kehidupan?
Dalam konteks inilah, pelaksanaan Subsidi Bersasar menjadi langkah reformasi penting untuk menyeimbangkan antara keperluan rakyat dan keutuhan kewangan negara.
Menurut pandangan Prof. Dr. Yeah Kim Leng, Profesor Ekonomi di Sunway University merangkap Ahli Majlis Penasihat Fiskal, pemberian subsidi wajar disusun semula agar berasaskan keperluan sebenar rakyat, bukan dilaksanakan secara menyeluruh sehingga menekan ruang fiskal negara.
Subsidi bersasar merupakan pendekatan baharu yang menekankan keadilan dalam pengagihan bantuan, di mana sokongan kerajaan diberikan mengikut tahap kemampuan dan keperluan sebenar rakyat.
Melalui kaedah ini, golongan berpendapatan rendah seperti B40 menjadi penerima utama, manakala bantuan kepada kumpulan berpendapatan tinggi diselaraskan semula agar dana negara digunakan dengan lebih berkesan.
Pendekatan ini bukan sekadar menjimatkan perbelanjaan kerajaan, tetapi juga memastikan manfaat awam diagihkan secara saksama tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial negara terhadap rakyatnya.
Dari sudut ekonomi, langkah ini dapat meningkatkan kecekapan fiskal serta mengurangkan ketirisan yang sering berlaku apabila subsidi disalurkan secara menyeluruh.
Seperti yang dijelaskan oleh Dr. Nungsari Ahmad Radhi, ahli ekonomi dan penganalisis dasar awam, pelaksanaan subsidi bersasar memberi ruang kepada kerajaan menyalurkan semula sumber kewangan kepada sektor yang lebih produktif seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan modal insan, sekali gus menjadikan dasar ini lebih mampan untuk jangka panjang.
Objektif utama pelaksanaan subsidi bersasar ialah memastikan bantuan kerajaan benarbenar sampai kepada mereka yang paling memerlukan, sekali gus mengurangkan ketidaksamaan sosioekonomi dalam masyarakat.
Dengan menyalurkan subsidi berdasarkan keperluan sebenar, kerajaan dapat mengoptimumkan penggunaan dana awam dan mengurangkan pembaziran yang berlaku akibat pemberian subsidi menyeluruh.
Pendekatan ini turut membantu memperkukuh kedudukan fiskal negara kerana penjimatan hasil daripada pengurangan subsidi tidak efisien boleh disalurkan semula kepada sektor pembangunan yang memberi pulangan lebih besar kepada rakyat.
Selain itu, subsidi bersasar berperanan dalam memperkecil jurang pendapatan antara golongan berkemampuan dan yang berpendapatan rendah, terutamanya dalam kalangan B40 dan miskin bandar. Ia juga dapat mengekang kegiatan penyelewengan seperti penyeludupan atau pembelian berlebihan oleh pihak yang tidak layak.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan subsidi bersasar bukan sahaja mencerminkan kecekapan pengurusan ekonomi, tetapi juga menzahirkan nilai keadilan sosial yang menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Pelaksanaan subsidi bersasar di Malaysia dilaksanakan melalui pelbagai kaedah bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran dengan lebih tepat dan telus.
Antara bentuk yang utama ialah pemberian bantuan tunai terus kepada isi rumah berpendapatan rendah melalui program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang menjadi saluran utama sokongan kewangan kepada rakyat B40.
Selain itu, terdapat juga subsidi barangan asas seperti minyak masak, tepung dan gula yang diagihkan secara terhad kepada peniaga dan pengguna yang layak bagi mengekang kenaikan harga mendadak.
Pendekatan baharu yang semakin berkembang ialah penggunaan sistem digital dan pangkalan data bersepadu seperti PADU, yang membolehkan kerajaan menilai kelayakan penerima berdasarkan pendapatan, bilangan tanggungan serta lokasi tempat tinggal.
Kaedah ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan, tetapi juga mengurangkan risiko penyelewengan dan ketirisan dana awam.
Di samping itu, pelaksanaan subsidi berstrata, seperti kadar tarif elektrik berperingkat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), menunjukkan bagaimana bantuan dapat disesuaikan mengikut tahap penggunaan sebenar.
Semua pendekatan ini menandakan peralihan dasar negara ke arah sistem subsidi yang lebih dinamik, berasaskan data dan berorientasikan keadilan sosial. Walaupun pelaksanaan subsidi bersasar dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam reformasi fiskal negara, ia tidak terlepas daripada cabaran dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Antara kebimbangan utama ialah tanggapan bahawa pengurangan subsidi pukal akan menyebabkan kenaikan harga barangan asas yang membebankan rakyat berpendapatan sederhana.
Selain itu, proses penentuan kelayakan juga sering menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan ketepatan data, khususnya bagi mereka yang berada di sempadan kategori pendapatan.
Dalam hal ini, komunikasi berkesan antara kerajaan dan rakyat amat penting bagi menjelaskan rasional serta manfaat jangka panjang dasar ini.
Seperti yang pernah dijelaskan oleh penganalisis ekonomi, Dr. Barjoyai Bardai, kejayaan subsidi bersasar tidak hanya bergantung kepada kecekapan sistem pelaksanaannya, tetapi juga pada tahap kefahaman dan kepercayaan rakyat terhadap keadilan dasar tersebut.
Justeru, pelaksanaan subsidi bersasar perlu diiringi dengan usaha mendidik masyarakat agar mereka memahami bahawa penstrukturan semula subsidi bukan bentuk penarikan hak, sebaliknya satu langkah strategik untuk menjamin kelangsungan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan subsidi bersasar mencerminkan komitmen kerajaan dalam menstruktur semula sistem bantuan agar lebih adil, telus dan berkesan.
Ia bukan bermaksud menarik semula kemudahan sedia ada, tetapi menyalurkannya dengan cara yang lebih bertanggungjawab dan menyeluruh.
Dengan penjimatan hasil daripada pengurusan subsidi yang lebih cekap, kerajaan dapat memperkukuh sektor strategik seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur, sekali gus memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat.
Namun, keberkesanan dasar ini bergantung kepada pelaksanaan yang teliti serta kesediaan masyarakat untuk memahami tujuan sebenar di sebalik perubahan tersebut.
Dalam jangka panjang, subsidi bersasar akan menjadi simbol keseimbangan antara kebajikan rakyat dan keutuhan ekonomi negara.
Apabila setiap bantuan disalurkan berdasarkan keperluan sebenar, barulah konsep keadilan sosial dan kemakmuran bersama dapat direalisasikan secara menyeluruh, memperkasakan rakyat, sambil memanfaatkan dana negara dengan sebaiknya.
Maklumat penulis
1) Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurulalia Asyiqin Yusni
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli
Ringkasan AI
- Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi, isu kecekapan pengagihan subsidi menjadi tumpuan dasar awam
- Subsidi Bersasar dilaksanakan untuk memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan dan mengurangkan ketidaksamaan
- Pendekatan ini meningkatkan kecekapan fiskal dan mengurangkan pembaziran sumber kewangan
- Pelaksanaan menggunakan kaedah digital dan pangkalan data untuk ketelusan dan mengurangkan risiko penyelewengan
- Subsidi bersasar membantu memperkecil jurang pendapatan dan menjadikan dasar lebih mampan dan adil