Diterima masuk ke UPSI - Doa ratu kayak termakbul!
Diterima masuk ke UPSI - Doa ratu kayak termakbul!

Impian ratu kayak ke UPSI akhirnya termakbul!

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
02 Nov 2022 12:35pm

Baru-baru ini, ratu kayak Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Shahida Asyiqin Rusli membuat pengumuman mengejutkan apabila mahu mengundurkan diri daripada sukan berkenaan kerana ingin memberi tumpuan kepada pelajaran.

Tiada sebarang sebab diberikan oleh Asyiqin mengenai pengunduran tersebut, cuma katanya, dia sekarang menanti tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Mungkin sudah rezeki anak kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu, ini kerana dia telah diterima UPSI dalam jurusan yang diminati.

Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari pada Isnin, surat tawaran kepada Asyiqin telah disampaikan sendiri oleh Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), UPSI, Dr Jaffry Zakaria di rumah atlet tersebut di Kampung Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu.

Turut hadir pada majlis ringkas itu ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FSSK, Dr Nur Haziyanti Mohamad Khalid.

Ibu Asyiqin, Robidah Said melahirkan rasa syukur dan terima kasihnya kepada UPSI kerana memberi peluang kepada anaknya untuk belajar di sana.

“Asyiqin sudah lama melahirkan hasrat mahu belajar di UPSI.

“Mungkin berkat doa daripada semua, akhirnya dia diterima masuk ke program Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan (program Laluan Khas Atlet).

“Terima kasih atas keprihatinan dan peluang yang diberikan. Sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Asyiqin,” ujarnya.

Asyiqin (kanan) bersama ibunya, Robidah yang sentiasa mendoakan kejayaan buat anaknya.

Asyiqin yang baru berusia 18 tahun telah mencipta rekod tersendiri pada Sukma 2022 di Kuala Lumpur apabila memenangi empat pingat emas, tiga perak dan enam gangsa.

Beliau turut memecahkan tiga rekod kebangsaan dalam acara Kayak Single 100 meter wanita, Kayak Single 500 meter wanita dan Kayak Four 100 meter wanita.

Kejayaan tersebut membolehkan pelajar ini dianugerahkan insentif tertinggi Sukma sebanyak RM33,500 oleh kerajaan negeri Terengganu.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin berkata, UPSI memiliki barisan pensyarah kanu yang berpengalaman luas dan pernah mewakili negara.

Ini bermakna, pemilihan Asyiqin untuk menyambung pengajian ke universiti ini adalah satu pilihan yang tepat.

“Saya berharap beliau dapat memanfaatkan segala kemudahan dan peluang yang ada di kampus ini.

“Belajarlah bersungguh-sungguh demi mencapai apa yang diimpikan selama ini,” tuturnya.

Dalam pada itu, Jaffry yang juga bekas atlet kanu negara berkata, program Laluan Khas Atlet di UPSI bukan sekadar untuk melahirkan atlet sahaja tetapi turut menyediakan sistem sokongan yang menyeluruh kepada atlet supaya mereka dapat menjalani proses bersukan dan belajar dengan baik.

INFO

- Pelajar yang mengikuti program Laluan Khas Atlet akan mengikuti jadual kuliah pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang.

- Penjadualan dibuat bagi memberi peluang atlet menjalani latihan sukan secara berstruktur di luar waktu kuliah, manakala penyampaian kuliah pula menggunakan kaedah hybrid dan Pembelajaran Teradun Gantian.

- Atlet yang perlu menjalani latihan atau yang terlibat dalam kejohanan sukan peringkat tinggi, mempunyai waktu pembelajaran yang lebih fleksibel, manakala peluang untuk Graduate On Time (GOT) juga adalah tinggi.

Artikel berkaitan 

Rahsia tersembunyi pelajar cemerlang, berikut 9 perkara dikongsi mereka

Graduan OKU mahu ubah nasib keluarga, tekad jadi penterjemah bahasa Arab

“Mereka tak mahu ambil saya bekerja kerana diri tidak sempurna” - Luahan hati graduan OKU buat ramai sebak


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp