
Dari kita, untuk kita: Nilai di sebalik jenama tempatan
Dalam arus globalisasi yang semakin deras, produk luar mudah menembusi pasaran tempatan dan menjadi pilihan utama pengguna.
Namun, di sebalik lambakan jenama antarabangsa, wujud pelbagai produk tempatan yang berkualiti tinggi, kreatif dan mampu bersaing setanding jenama luar jika diberi sokongan sewajarnya.
Membeli produk tempatan bukan sekadar satu pilihan pengguna, malah merupakan satu bentuk sokongan kepada ekonomi negara.
Setiap ringgit yang dibelanjakan untuk produk lokal akan membantu peniaga kecil dan sederhana, membuka peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Produk tempatan hari ini tidak lagi berada pada tahap yang sama seperti dahulu. Dari segi kualiti, pembungkusan mahupun strategi pemasaran, banyak jenama lokal tampil lebih berani dan inovatif.
Malah, terdapat produk tempatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus membuktikan keupayaan usahawan tempatan dalam menghasilkan produk yang berdaya saing.
Selain aspek ekonomi, sokongan terhadap produk tempatan turut memainkan peranan penting dalam memelihara identiti dan budaya negara.
Banyak jenama lokal mengetengahkan elemen tradisi, nilai budaya serta keunikan tempatan dalam produk mereka, sama ada dalam bidang makanan, fesyen, kecantikan mahupun seni kreatif.
Hal ini secara tidak langsung membantu memartabatkan warisan tempatan agar tidak ditelan arus pemodenan.
Namun begitu, masih terdapat segelintir masyarakat yang memandang rendah terhadap produk tempatan dan menganggap produk luar lebih berkualiti.
Persepsi ini perlu diubah kerana kualiti sesuatu produk tidak seharusnya diukur berdasarkan asal negara semata-mata, tetapi berdasarkan nilai, fungsi dan impaknya kepada pengguna.
Kesedaran dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan muda, amat penting dalam membentuk budaya menyokong produk tempatan. Golongan ini merupakan pengguna utama yang aktif di media sosial dan berpotensi besar dalam mempengaruhi trend pembelian.
Dengan sokongan dan promosi yang berterusan, produk tempatan mampu menjadi pilihan utama dalam gaya hidup seharian. Hakikatnya, terdapat banyak jenama tempatan yang telah lama digunakan oleh masyarakat tanpa disedari berasal dari Malaysia.
Antaranya ialah Silkygirl, sebuah jenama kosmetik yang berjaya membina kepercayaan pengguna melalui kualiti produk yang setanding dengan jenama antarabangsa.
Selain itu, Malaysia juga memiliki tarikan tempatan bertaraf global seperti Berjaya Times Square Theme Park, yang membuktikan keupayaan jenama dan industri tempatan dalam menawarkan pengalaman hiburan berkualiti tinggi.
Kejayaan jenama-jenama ini menjadi bukti jelas bahawa produk dan perkhidmatan lokal mampu bersaing serta wajar diberi sokongan berterusan oleh masyarakat.
Seiring dengan usaha meningkatkan kesedaran ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi menggalakkan sokongan terhadap jenama tempatan seperti penganjuran festival dan kempen yang berfungsi sebagai platform pendedahan kepada masyarakat tentang keunikan serta kualiti produk lokal.

Bertepatan dengan usaha memperkukuh sokongan masyarakat terhadap produk tempatan, pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Periklanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam mengaplikasikan pembelajaran akademik ke dalam situasi sebenar melalui subjek Teknologi Periklanan di samping menyokong dan memperkasakan jenama tempatan.
Mereka telah menggerakkan inisiatif SeeLokal Fest pada 10 hingga 11 Januari yang lalu sebagai sebuah platform yang mengetengahkan keunikan, kreativiti serta kualiti jenama tempatan.
Penganjuran festival bertempat di Laman Budaya, Shah Alam ini membawa mesej jelas bahawa produk lokal bukan sahaja mampu bersaing, malah mempunyai nilai dan daya tarikan tersendiri yang wajar diberi kepercayaan oleh pengguna.
Sebagai sebuah inisiatif berteraskan pembelajaran sebenar, SeeLokal Fest menghimpunkan pelbagai jenama tempatan merangkumi pelbagai kategori perniagaan serta disokong dengan aktiviti interaktif yang bersifat mendidik dan menghiburkan.
Usaha ini bukan sahaja memberi pendedahan langsung kepada masyarakat tentang keupayaan produk tempatan, malah mencerminkan komitmen pelajar komunikasi dan pengajian media dalam memanfaatkan ilmu periklanan, kreativiti serta pengurusan acara bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan secara berimpak.
Maklumat penulis:
Pelajar tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) dalam bidang Periklanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, Ainul Bashirah Mohd Ghazali.
Ringkasan AI
- Produk tempatan berkualiti tinggi, kreatif dan mampu bersaing dengan jenama luar jika diberi sokongan
- Membeli produk tempatan membantu ekonomi negara, peniaga kecil dan membuka peluang pekerjaan
- Jenama tempatan kini lebih berani, inovatif dan beberapa telah menembusi pasaran antarabangsa
- Sokongan kepada produk tempatan penting untuk memelihara identiti dan budaya negara
- Pelajar UiTM menggerakkan inisiatif SeeLokal Fest untuk menyokong dan memperkasakan jenama tempatan