Ini 13 senarai IPTAS yang tawar pengajian doktor pergigian
Ini 13 senarai IPTAS yang tawar pengajian doktor pergigian

Ini 13 senarai IPTA/S yang tawar pengajian doktor pergigian

Rasyidah Zulkifi
21 Jun 2022 11:51am
A
A
A

Jika diimbau zaman persekolahan terutama ketika di sekolah rendah, apabila diajukan soalan mengenai cita-cita, pasti ramai murid akan memberikan jawapan untuk menjadi seorang doktor tidak kira doktor perubatan mahupun pergigian antara kerjaya yang cukup popular dalam kalangan anak-anak.

Untuk itu, bagi mereka yang berminat untuk menjadi doktor, masing-masing perlu cemerlang peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seterusnya, memperoleh semua A di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau matrikulasi dan juga asasi Sains bagi universiti awam.

Kursus-kursus ini merupakan persiapan asas sebelum menyambung pengajian khas dalam bidang pergigian.

Selepas tamat kursus, pelajar boleh menyambung pengkhususan tersebut di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Majlis Pergigian Malaysia (MPM).

MPM merupakan badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Pergigian 1971 menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) dan fungsinya adalah untuk memberi sijil perakuan kepada pengamal perubatan pergigian yang bertauliah.

Sehubungan itu, kali ini Sinar Bestari senaraikan 13 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan kursus pengajian dalam bidang pergigian.

*

IPTA

  1. Universiti Malaya (UM)

UM merupakan pusat pengajian tinggi pertama di Malaysia yang menawarkan kursus pergigian pada 1972. Ia menawarkan bidang Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (BDS) dalam mod pengajian sepenuh masa kepada pelajar aliran Sains yang memenuhi syarat minimum seperti mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) atau matrikulasi dan Malaysian University English Test (MUET) Band 3.

2. Universiti Sains Malaysia (USM)

Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM di Pulau Pinang menawarkan bidang Sarjana Muda Doktor Pembedahan Pergigian (DDS) dalam mod pengajian sepenuh masa kepada semua pelajar aliran Sains yang berkelayakan. Syarat minimum yang diperlukan adalah calon mempunyai SPM, Diploma Sains Kesihatan, MUET Band 3 dan lulus ujian serta saringan temu duga.

3. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Program lima tahun DDS UKM dibuka kepada semua pelajar aliran Sains yang berkelayakan. Syarat minimum yang diperlukan adalah calon mempunyai SPM, STPM atau matrikulasi, MUET Band 3 dan lulus ujian aptitud serta saringan temu duga.

4. Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Program BDS UiTM, Selangor dibuka kepada semua pelajar aliran Sains yang berkelayakan. Syarat minimum yang diperlukan untuk kemasukan adalah calon mempunyai STPM atau matrikulasi dan MUET Band 3. Mereka juga bebas Hepatitis B dan C apabila diterima menyambung BDS.

5. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

UIAM di Pahang menawarkan program lima tahun Sarjana Muda BDS kepada semua pelajar aliran Sains yang berkelayakan. Calon yang ingin menyambung pengajian ini mesti mempunyai SPM, diploma, memenuhi syarat am universiti dan lulus temu duga yang dijalankan.

6. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Fakulti Pergigian di USIM menjalankan program Sarjana Muda BDS selama lima tahun di Negeri Sembilan. Syarat minimum kemasukan adalah calon memiliki SPM, Tahmidi, MUET Band 3 dan lulus tapisan temu duga.

IPTS

1. AIMST University

AIMST University menawarkan Program Sarjana Muda BDS lima tahun di Kedah. Syarat minimum kemasukan adalah calon memiliki SPM, matrikulasi, asasi, Diploma Sains Kesihatan, MUET Band 4 dan lulus ujian aptitud serta temu duga.

2. Penang International Dental College (PIDC)

PIDC menawarkan program Sarjana Muda DDS kepada calon yang berkelayakan. Syarat minimum kemasukan adalah pemohon memiliki SPM, matrikulasi, asasi dan Diploma Sains Kesihatan.

3. MAHSA University College

MAHSA University College yang bertempat di Selangor menawarkan program lima tahun Sarjana Muda DDS kepada calon yang berkelayakan. Syarat minimum kemasukan adalah pemohon memenuhi keperluan SPM, asasi atau matrikulasi dan Diploma Sains Kesihatan yang berkaitan.

4. International Medical University (IMU)

Program pergigian IMU menawarkan program Sarjana Muda BDS selama lima tahun di kampus Kuala Lumpur. Syarat minimum kemasukan adalah calon memiliki SPM, matrikulasi, asasi, Diploma Sains Kesihatan dan MUET Band 4.

5. Melaka-Manipal Medical College (MMMC)

MMMC menawarkan program Sarjana Muda BDS selama lima tahun pengajian. Pelajar yang berminat untuk menyambung pengajian ini mestilah mempunyai STPM, matrikulasi, asasi atau Diploma Sains Kesihatan.

6. SEGi University

Ijazah Sarjana Muda BDS SEGi University ialah program lima tahun bertempat di kampus Selangor. Semua pemohon yang memasuki program matrikulasi, asasi atau praperubatan, kecuali mereka yang mempunyai kelayakan ijazah dalam bidang seni atau kemanusiaan, hendaklah lulus dalam SPM, STPM dan yang setara dengannya.

7. Lincoln University College

Lincoln University College menawarkan program lima tahun Sarjana Muda DDS bertempat di kampus Selangor. Syarat minimum kemasukan adalah calon memiliki SPM dan matrikulasi atau asasi Sains.

Semoga perkongsian ini membantu pelajar mencari haluan pendidikan untuk kerjaya pakar pergigian kelak!

Artikel berkaitan

Mengapa murid asyik main game? Nah, ini 13 faktor yang buat mereka leka dan abaikan pelajaran

7 watak penting di klinik pergigian kerajaan. Guru dan pelajar wajib kenali mereka!

Siswazah Malaysia kongsi 13 tip peperiksaan di Universiti Al-Azhar, Mesir

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok