WhatsApp Image 2022-12-07 at 12.21.04 PM
WhatsApp Image 2022-12-07 at 12.21.04 PM

Inovasi pelajar UPM juara Pertandingan Usahawan Inovasi 2022 Piala Menteri Pengajian Tinggi

Adlan Farhan Azwan
07 Dec 2022 12:33pm
A
A
A

Kecemerlangan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang inovasi diteruskan lagi menerusi tiga pelajarnya yang dinobatkan juara pada Pertandingan Usahawan Inovasi 2022 Piala Menteri Pengajian Tinggi dan penerima Anugerah Khas Business Model Canvas (BM) Terbaik.

UPM diwakili dua pelajar Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Hoh Jia Da dan Heon Hi Teng, serta seorang pelajar Fakulti Kejuruteraan, Hairul Faizi Hairulnizam.

Hoh Jia Da (kiri), Hairul Faizi (tengah) dan Heon Hi Teng (kanan). Kredit foto: Facebook UPM

Mereka telah berjaya mencipta produk inovasi kad permainan pendidikan, Edulab Zing yang berupaya menjadikan pembelajaran bahasa Inggeris lebih menyeronokkan untuk pelajar dari semua latar belakang sosio-ekonomi.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan mereka membawa pulang geran perniagaan dengan jumlah keseluruhan RM33,000 beserta piala iringan.

Pasukan yang dibimbing oleh Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UPM, Profesor Madya Dr Mass Hareeza Ali telah membentangkan idea berkonsepkan perusahaan sosial yang bertujuan mengurangkan jurang pendidikan di Malaysia dengan menghasilkan inovasi cara baharu pembelajaran dan mempraktikkan bahasa Inggeris.

Pertandingan bertemakan Inovasi Hari Ini Untuk Kelestarian Masa Hadapan adalah seiring dengan perkembangan dan keperluan masa kini di mana inovasi dalam kehidupan perlu diterapkan bagi memenuhi cabaran globalisasi.

Sebanyak 62 kumpulan dari 47 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti telah menyertai pertandingan tersebut bagi merebut gelaran juara.

Menurut Jia Da selaku ketua pasukan, kejayaan ini merupakan hasil sokongan daripada Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) yang sentiasa membantu dan menyediakan keperluan sepanjang mereka mengikuti pertandingan ini.

“Geran perniagaan yang diterima akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan dan pemasaran produk Edulab Zing serta menganjurkan lebih banyak bengkel bahasa Inggeris untuk pelajar B40 di kawasan luar bandar.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah semakin merosot sejak beberapa tahun lalu.

“Oleh itu, kami cuba menghasilkan satu produk inovasi agar dapat menarik minat pelajar dan membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr Roslan Sulaiman pula berkata, beliau berbangga dengan kejayaan tiga pelajarnya dalam menyediakan penyelesaian inovatif untuk mempercepatkan agenda transformasi digital.

“Saya sangat bangga dengan pencapaian ini dan berharap ia dapat membantu semua pelajar sekolah untuk mempelajari bahasa Inggeris dengan mudah dan senang untuk difahami,” jelasnya.

Artikel berkaitan

Inovasi sisa buangan kulit telur raih pingat emas tertinggi PECIPTA 2022

UPM perkasa EKSA, tingkat kualiti dan perkhidmatan

Kreatif bangunkan inovasi e-gamifikasi membolehkan Cyber Squad muncul juara MKBC’22


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok