Jalinan kerjasama antara CPA Australia dan UNIRAZAK, usaha dalam memperkasa pemahaman sistem cukai negara
KUALA LUMPUR - CPA Australia akan bekerjasama dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) sebagai usaha untuk memperkasakan akauntan profesional yang holistik dalam sektor cukai Malaysia.
Menurut Ketua Negara Bahagian CPA Australia Malaysia, Priya Terumalay, langkah untuk bekerjasama dengan UNIRAZAK yang menawarkan modul sistem percukaian Malaysia merupakan keputusan yang tepat pada waktunya.
“Kami ingin memainkan peranan yang lebih aktif dalam menyediakan sudut pandangan standard industri sistem cukai kepada generasi akauntan profesional pada masa akan datang.
Baca juga
Kerjasama UMP dan AspenTech, bina ekosistem perkongsian ilmu
“Kami berbangga kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan UNIRAZAK dalam usaha ini bagi meluaskan pemahaman sistem percukaian Malaysia dan meningkatkan peluang yang ada khususnya kepada mereka yang berminat untuk mengambil modul ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 10 Mac lepas.
Dalam pada itu, Naib Canselor UNIRAZAK, Profesor Datin Paduka Dr Samsinar Md Sidin juga menzahirkan rasa bangga kerana kursus Percukaian Malaysia yang ditawarkan oleh UNIRAZAK telah diiktiraf sebagai satu mata pelajaran yang setara dengan mata pelajaran elektif untuk Program Akauntan Awam Bertauliah (CPA).
“Ini bermakna kami berada di landasan yang betul untuk mendidik pelajar kami dan meningkatkan pengalaman mereka untuk masa depan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada CPA Australia atas sokongan dan pengiktirafan berterusan mereka dan menantikan fasa baharu ini,” jelasnya.
Bagi yang mendaftar untuk menjalani modul Cukai Malaysia dengan UNIRAZAK, mereka akan dikecualikan daripada elektif semasa mendaftar untuk Program CPA.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Setakat ini, UNIRAZAK telah bekerjasama dengan pelbagai organisasi termasuk CPA Australia, Institut Pengurusan Bertauliah United Kingdom (CMI), Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM), Institut Perbankan Islam dan Kewangan Malaysia (IBFIM), Institut Insurans Malaysia (MII) dan banyak lagi.
Maklumat lanjut mengenai UNIRAZAK boleh didapati melalui laman sesawang unirazak.edu.my