Karnival Jom Masuk IPT Fasa 1 2022 berakhir di USIM
Karnival Jom Masuk IPT Fasa 1 2022 berakhir di USIM

Karnival Jom Masuk IPT Fasa 1 2022 berakhir di USIM

Roshlawaty Md Raieh
28 Feb 2022 05:11pm
A
A
A

Pandemik Covid-19 tidak menghalang orang ramai untuk mengunjungi Karnival Jom Masuk IPT Fasa 1 - Zon 4 yang bermula 26 Februari hingga 28 Februari di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Program yang berlangsung pada jam 9 pagi hingga 6 petang itu mendapat sambutan hangat kalangan pelajar-pelajar sekolah termasuklah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia, Diploma, ibu bapa, guru-guru, kaunselor dan masyarakat setempat.

Sebanyak 60 pempamer mengambil bahagian yang terdiri daripada 20 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, agensi kerajaan seperti Perbadanan Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Pendidikan Politeknik, Kolej Komuniti dan sebagainya.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, pandemik telah memberi kesan yang mendalam terhadap pelbagai sektor termasuklah pengajian tinggi.

“Pandemik Covid-19 telah memberikan gambaran bahawa universiti berdepan dengan cabaran merentas impak teknologi, globalisasi dan ekonomi.

Baca juga 

Hargai seni tenunan, ini pesanan Cikgu Amin untuk semua murid

8 fakta tentang kamus yang pelajar pasti akan tertarik

"Antara cabaran yang dihadapi oleh universiti adalah pelaksanaan PdP secara dalam talian, kejatuhan peratus Graduate Employbility (GE), kampus yang tidak digunakan secara menyeluruh dan pelbagai lagi.

“Namun, kita sebagai keluarga KPT perlu terus mengorak langkah dalam menjayakan serta merancakkan pendidikan tinggi walaupun ia perlu dilakukan secara norma baharu,” katanya ketika merasmikan karnival tersebut.

Turut hadir pada majlis perasmian adalah Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Wahi Nordin.

Terdahulu, Karnival Jom Masuk IPT Zon 4 telah menjelajah sebanyak empat zon iaitu Zon 1 di Pulau Pinang, Zon 2 di Perak, Zon 3 di Kuching dan zon terakhir di USIM.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nurul Faqihah Mohamad Sadri, 20, dari Bandar Baru Salak Tinggi yang merupakan penuntut Matrikulasi Selangor berkata, karnival itu memudahkannya untuk mengisi permohonan UPUOnline dan mendapatkan maklumat tentang program pengajian yang sesuai dengan keputusan matrikulasi, di mana dia berhasrat menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang Sains Komputer.

Bagi penuntut Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Port Dickson, Tan Kiang Tong, 24 pula, karnival berkenaan membantunya mendapatkan info tentang penawaran pengajian sacara sambilan di mana-mana universiti memandangkan dia kini sudah ada kerjaya.

Penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Mashitah Mustafa, 18 dari Bangi memberitahu, dia bersemangat datang ke karnival bersama rakan-rakan dan meminta ibu bapa menghantarnya ke USIM.

“Saya tiada pilihan universiti lagi untuk sambung pengajian. Jadi, saya datang ke sini untuk mendengar taklimat-taklimat IPT. Saya meminati akaun dan insya-ALLAH akan sambung belajar dalam bidang perakaunan,” katanya.

Mashitah

Bagi pesara, Omar Mamat, 56 dari Putrajaya, dia datang ke program itu untuk mencari maklumat buat anaknya yang tidak dapat turut serta kerana melakukan persiapan bagi menduduki peperiksaan SPM.

“Saya mengambil inisiatif ini kerana anak minat dalam bidang program Sains Sukan dan Kejurulatihan. Diharapkan dengan maklumat yang diperoleh ini akan dapat membantu anak mengisi UPU nanti,” jelasnya.

Omar

Mengakhiri Fasa 1 karnival ini, USIM selaku tuan rumah menyeru pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi untuk merebut peluang dengan hadir ke karnival pada masa akan datang iaitu pada Jun 2022 di Kota Kinabalu, Sabah (Fasa 2).

Manakala, bagi pelajar yang masih belum mengisi UPUOnline, boleh berbuat demikian sebelum 31 Mac ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok