Hargai seni tenunan, ini pesanan Cikgu Amin untuk semua murid
Hargai seni tenunan, ini pesanan Cikgu Amin untuk semua murid

Hargai seni tenunan, ini pesanan Cikgu Amin untuk semua murid

Roshlawaty Md Raieh
28 Feb 2022 02:36pm
A
A
A

Bakat dan minat murid dalam kemahiran menenun perlu dicungkil sebaik mungkin oleh guru-guru di sekolah.

Ini kerana, tuah menguasai kemahiran itu mampu membuka peluang cerah kepada mereka untuk menjadi seorang pengusaha industri kraf tenunan dalam industri satu hari nanti.

Namun begitu, murid-murid ini perlu didedahkan dengan ilmu tersebut dari peringkat awal supaya mereka mempunyai pelbagai pengetahuan setelah tamat belajar kelak.

Guru Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Lempor, Kuala Kangsar, Perak, Muhammad Amin Abu, 31, berkata, ilmu tenunan akan mula diajar kepada murid-murid ketika mereka berada di peringkat sekolah rendah.

“Topik seni tenunan ini diajar dalam bidang mengenal kraf tradisonal bagi Tahun Lima yang memberi penerapan kepada seni tenunan bermotifkan mata bilis.

“Murid akan mengaplikasikan pengetahuan bahasa seni visual, alat pengajaran, proses dan teknik dalam penghasilan tenunan mudah.

“Oleh itu, murid akan memilih dan memanipulasikan secara kreatif dan terancang,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Cikgu Amin

Ketika di sekolah menengah pula, Cikgu Amin yang kini mengajar subjek Pendidikan Seni Visual (PSV) berkata, pelajar akan belajar dengan lebih mendalam tentang motif tenunan yang bersifat unik, digabung jalin antara motif flora dan fauna untuk dikomersialkan, contohnya motif siku keluang, bunga telepuk dan tampuk kecepu.

"Malah, pengunaan bahan dan peralatan semasa pengajaran di sekolah boleh menggunakan pelbagai alternatif mengikut kesesuaian namun masih mengekalkan ciri-ciri keaslian.

“Pelajar akan mengamati konsep tenunan motif yang pelbagai supaya tahap penguasaan mereka akan menjadi lebih baik,” kata anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Baca juga

Cara menarik minat pelajar dalami seni tenunan, Cikgu Nadia kongsi 5 kaedah mudah!

Tenunan, warisan seni bernilai tinggi, IKTPD main peranan lahir pelapis muda 

Sambungnya lagi, secara umum, hanya segelintir pelajar yang gemar aktiviti tenunan ini dan kebanyakan mereka kurang minat untuk memahirkan diri dalam seni tersebut.

“Namun begitu, proses pembelajaran yang digarapkan oleh guru-guru, mampu menarik minat mereka untuk menghasilkan seni tenunan ini.

“Sekiranya guru di peringkat sekolah rendah telah memberi pendedahan awal dan bimbingan yang baik, maka mereka akan dapat menjana idea kreatif seni tenunan dan mengolah motif sedia ada kepada motif bersifat global,” ujar anak kedua daripada tiga adik-beradik ini lagi.

Sisi positif

Seni tenunan amat unik apabila diberi pendedahan awal di peringkat sekolah rendah.

Ini kerana murid akan lebih fokus dan membuat motif secara mengulang daripada benang dan menjadi selembar kain yang boleh dicantum untuk diguna pakai.

“Topik seni tenunan antara aktiviti tradisional warisan Melayu yang masih wujud dan tinggi nilai estetikanya. Kedatangan motif terkini dalam kalangan pelajar membuka lembaran baharu kepada penduduk tempatan apabila ia turut mempengaruhi budaya dan tatacara pemakaian serta seni kraf tangan.

Pameran Explorasi Seni Visual (Seni Di Sekelilingku) bersama murid SK Lempor.

“Kreativiti guru dalam mencipta inovasi terhadap material utama seperti benang, pewarna dan peralatan menenun amatlah digalakkan dalam usaha meletakkan industri tenunan ke peringkat lebih tinggi.

“Saya sebagai guru yang diberi pendedahan dalam seni reka tekstil perlu mengekalkan nilai dan seni tradisional warisan Melayu ini dalam kalangan anak-anak didik,” kata bapa kepada tiga orang cahaya mata ini.

Dalam pada itu, Cikgu Amin berkata, subjek PSV berupaya untuk mengembangkan sifat-sifat melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran pelajar.

“Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri.

“Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasa sendiri,” tuturnya lanjut.

Ditanya mengapa memilih perguruan sebagai kerjaya, ini beritahu Cikgu Amin.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Saya datang daripada keluarga pendidik. Mungkin kerana itu, saya memilih untuk menjadi cikgu bagi meneruskan legasi.

“Saya ingin merasa sendiri cabaran sebagai seorang guru. Mungkin ada yang berpendapat kerjaya lain juga ada cabarannya dan ia memang tidak dinafikan.

“Tetapi cabaran yang dimaksudkan di sini ialah cabaran mendidik dan membentuk seseorang menjadi seorang insan yang berguna,” akhiri Cikgu Amin.

Cikgu Amin bersama murid SK Kerangan, Lawas, Sarawak (sekolah terdahulu) yang muncul Johan Pertandingan Rekacipta dan Inovasi Alam Sekitar Bahan Terbuang ( Program Inno-waste) Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri.

PROFIL

Tahap pendidikan: Sarjana Pendidikan (Pedagogi), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tempoh berkhidmat sebagai guru: Tujuh tahun

Guru subjek: PSV dan Bahasa Melayu

Anugerah dan Pencapaian:

- Guru Cemerlang Pendidikan Seni Visual (DG44) KUP

- Anugerah Emas Inovasi PdP Terbaik Dalam Kolokium Pendidikan Negeri Perak 2021

- Anugerah Perak Pertandingan Inovasi Kebangsaan Pendidikan dan Teknologi 2021 (NIETECH’21)

- Panel juri The 9th International Invention, Innovation Anddesign 2020 (INDES 2020) UiTM Perak

- Lantikan sebagai Teknologi Berijazah dalam bidang Art Design & Creative Multimedia Technology (Am) oleh Lembaga Teknologis Malaysia 2020.

- Jurulatih Utama Kebangsaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah Semakan 2017, Pendidikan Kesenian (Komponen Seni Visual)

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok