UNISEL-PULAZA-SINARBESTARI-2022 (1)
UNISEL-PULAZA-SINARBESTARI-2022 (1)

Kem Pelajar Budiman lahirkan pelajar berteraskan budi bahasa

nadzarul.amir
27 Dec 2022 04:58pm
A
A
A

Cuti sekolah bukan sahaja masa dinantikan para pelajar untuk berehat bersama-sama ahli keluarga malah ia menjadi waktu yang dinantikan ramai untuk menyertai pelbagai bengkel atau aktiviti yang boleh menimba ilmu.

Sehubungan itu, dalam usaha memanfaatkan cuti sekolah dengan perkara-perkara berfaedah, baru-baru ini Pusat Zakat Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1, dan Pusat Jaringan Komuniti (COMNET), Universiti Selangor (UNISEL) telah menganjurkan Kem Pelajar Budiman, peringkat Negeri Pulau Pinang.

Kem tersebut yang diadakan di Pusat Latihan Zakat (PULAZA), Balik Pulau, Pulau Pinang telah menganjurkan pelbagai aktiviti menarik dari segi kepimpinan, komunikasi, kemahiran belajar dan membaca pantas; pemikiran kreatif dan kritis; serta aktiviti dalam kumpulan dengan mengabungkan pelbagai pelajar asnaf dari pelbagai sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan sekolah menengah agama rakyat (SMAR).

Antara sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah (SM) Islam Tahfiz Sains dan Teknologi Pulau Pinang, Kepala Batas; Madrasah Al-Quran Wal Arabiyyah (Mawar) Kepala Batas; SM Al-Itqan Bayan Lepas; Madrasah Al Aminiah Permatang Pauh; Sekolah Menengah Agama Ibrah Permatang Pauh; SM Arab Tahfiz Ibn Al-Qayyim (SMART IQ) Bukit Mertajam; Maahad Tahfiz Akademi Al-Quran As-Syamil (AQSA) Bukit Mertajam, Sekolah Menengah Islam Ad Diniah Sungai Bakap dan SMK Bukit Gambir, Gelugor Pulau Pinang.

Kem Pelajar Budiman peringkat negeri itu telah dirasmikan Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman.

Program tiga hari tersebut bertujuan mendidik dan melahirkan pelajar berteraskan budi bahasa, budi pekerti dan budi daya dalam jati diri para peserta.

Menurut Pengarah Program, Ts Izwan Suhadak Ishak, selain mendidik, perkongsian pintar tersebut turut memberi jaminan kepada anak-anak asnaf untuk menyambung pengajian di UNISEL.

“Selain terlibat untuk beraktiviti, kebajikan dan pembangunan kecemerlangan akademik serta karakter pelajar akan dibimbing menerusi Sekretariat Anak Pulau Pinang UNISEL,” ujarnya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin menekankan pembentukan watak merupakan agenda utama membentuk pelajar yang berkarakter.

“Pembangunan karakter dibentuk melalui pembinaan akhlakul karimah (akhlak mulia) dengan transformasi nilai-nilai budiman dan berlandaskan qur’ani kepada pelajar.

“Pada masa yang sama, terima kasih diucapkan kepada UNISEL kerana sudi menawarkan Dermasiswa Peringkat Asasi kepada beberapa SMK dan SMAR di Pulau Pinang,” katanya mengakhiri bicara.

Artikel berkaitan

Al Kauthar Eduqids jalin kerjasama dengan UNISEL

UMT peka nasib pelajar golongan asnaf, sumbang zakat RM250,000

PUBG Mobile Tournament UNISEL 2022 dapat sambutan luar dugaan, bukti e-sukan kegilaan ramai


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok