311501936_5620010601391322_9067904039423136343_n
311501936_5620010601391322_9067904039423136343_n

UMT peka nasib pelajar golongan asnaf, sumbang zakat RM250,000

Adlan Farhan Azwan
14 Oct 2022 05:18pm
A
A
A

Dalam memastikan kesejahteraan kewangan pelajar terpelihara, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Islam Sultan Mahmud baru-baru ini telah mengagihkan sumbangan zakat Dermasiswa Al-Ikhlas sebanyak RM250,000 kepada 500 pelajar baharu daripada golongan asnaf.

Dermasiswa Al-Ikhlas merupakan sumbangan ikhlas Zakat Pendapatan Kakitangan UMT sebanyak RM500 kepada setiap pelajar baharu asnaf Ijazah Sarjana Muda Sesi 2022/2023 yang layak.

Menurut Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar, pihaknya sentiasa menitikberatkan nasib pelajar asnaf dan berusaha untuk membantu golongan ini.

Dr Mazlan bersama sebahagian pelajar daripada golongan asnaf yang menerima Dermasiswa Al-Ikhlas. Kredit foto: Pusat Islam Sultan Mahmud UMT

“Pemulihan pandemik adalah fasa yang sangat sukar bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dalam mengharungi ujian dan cabaran kehidupan.

“Sehubungan itu, UMT telah merangka pelan pembangunan asnaf dan dilaksanakan dengan memperkenalkan program AsnafXChange, AsnafPLUS dan AsnafPro.

“Kesedaran kempen sistem potongan zakat Cukai Kepada Zakat (C2Z) yang diperkenal sebelum ini juga telah menampakkan hasil apabila jumlah kutipan kali ini meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sumbangan zakat pendapatan 364 orang kakitangan UMT pada tahun ini mencecah hampir RM200,000.

Turut hadir pada Majlis Penyampaian Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas ialah Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amirri Ngah yang mewakili Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.

Dalam pada itu, sempena majlis penyerahan tersebut turut diumumkan program AsnafPro yang julung-julung kali diperkenalkan di UMT iaitu pembiayaan penuh biasiswa zakat UMT sepanjang pengajian kepada pelajar asnaf terpilih.

Sebelum itu, UMT menerima 2,149 pelajar baharu bagi sesi pengambilan 2022/2023 yang terdiri daripada 646 pelajar lelaki dan 1,503 pelajar perempuan yang telah mula pengajian pada Oktober ini.

Artikel berkaitan

Nurul Izzati sebak ditawar biasiswa zakat sepanjang pengajian

Elaun pelajar tajaan MARA dinaikkan

Rezeki! 61 pelajar B40 terima biasiswa peringkat tertiari penuh


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok