Kerana populariti sukan frisbee, kumpulan pelajar UKM sepakat anjur UFUC 2022
Kerana populariti sukan frisbee, kumpulan pelajar UKM sepakat anjur UFUC 2022

Kerana populariti sukan frisbee, kumpulan pelajar UKM sepakat anjur UFUC 2022

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
15 Sep 2022 06:01pm

Sukan frisbee atau cakera terbang semakin popular di negara ini apabila ia dimainkan oleh sekumpulan guru di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur (ISKL) pada awal tahun 2000.

Sejak itu, pelbagai kejohanan telah diadakan berkaitan sukan frisbee ini termasuklah di institusi pengajian tinggi (IPT).

Sukan frisbee adalah sukan yang menggunakan cakera berbentuk bulat, diperbuat daripada plastik dan seberat 175 gram.

Bentuk cakera itu adalah seperti piring leper dan mempunyai lekuk dan kebiasaannya cakera ini berwarna putih.

Cara permainan pula adalah gabungan daripada tiga jenis sukan iaitu bola jaring, bola sepak dan ragbi.

Setiap pemain perlu melempar dan menghantar cakera kepada ahli kumpulan seperti bola jaring, berlari seperti bola sepak tetapi pungutan mata adalah seperti ragbi.

Dalam memastikan sukan frisbee ini terus mendapat tempat di hati peminatnya, baru-baru ini Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Kejohanan UKM Frisbee Ultimate Challenge 2022 (UFUC 2022) untuk mahasiswa mereka.

Kejohanan anjuran pelajar Sarjana Pendidikan (Pengurusan Sukan), UKM itu bertemakan ‘Sky Full of Stars’ dan telah berlangsung di Padang B dan C, UKM.

Penasihat program, Dr Nur Shakila Mazalan berkata, kejohanan tersebut dapat membudayakan amalan gaya hidup yang sihat dan kembali aktif bersukan secara terbuka setelah pandemik Covid-19.

“Bila kita anjurkan kejohanan ini, secara tidak langsung ia dapat mempromosikan imej UKM yang sentiasa berusaha untuk membantu negara melahirkan masyarakat berbudaya sukan (sporting nation),” ujarnya.

Sementara itu, Dr Nur Shakila yang juga pensyarah subjek Pengelolaan Kegiatan Ko-Kurikulum Sukan, Fakulti Pendidikan, UKM berkata, sukan frisbee mempunyai beberapa keunikan yang tersendiri.

Antaranya, sukan frisbee tidak terhad kepada jantina dan ia tidak diadili oleh pengadil. Jika terdapat sebarang kesalahan ketika perlawanan berlangsung, kedua-dua pemain harus menyelesaikannya sendiri.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Kejohanan, Nur Azrenna Ahmad Jumry berkata, antara faktor utama mereka menganjurkan sukan frisbee adalah disebabkan populariti sukan itu pada masa kini.

Ujarnya lagi, frisbee kerap dimainkan oleh pelajar UKM pada masa lapang malah beberapa pemainnya dilihat mampu pergi lebih jauh jika bakatnya diasah dengan baik.

Artikel berkaitan 

Pelajar Kolej GENIUS@Pintar Negara UKM cemerlang di World Scholar’s Cup Global Round 2022

Berjaya kumpul RM21,570 untuk projek khidmat masyarakat, usaha keras 7 pelajar master UKM dipuji ramai

Penyelidik UKM reka corak warisan Melayu pada telekung


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp