Joel Kornreich
Joel Kornreich

Kitar semula untuk hasilkan beg, pasukan Genesys UTHM juara Cabaran EcoBiz Alliance Bank Musim ke-4

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
23 Jun 2022 12:37pm

Idea penghasilan beg daripada barangan kitar semula oleh pasukan Genesys dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membuahkan hasil apabila muncul sebagai juara Cabaran Ecobiz Alliance Bank edisi keempat.

Anggota pasukan, Wan Muhammad Idham Wan Mahdi, 31, Mohd Syahir Anwar Hamzah, 29, dan Nurliyana Abdul Rahim, 29, telah berjaya memenangi hati panel juri menerusi persembahan idea perniagaan mereka untuk memulakan perniagaan sosial yang disertai oleh para ibu tunggal dan belia.

Kain rentang, sepanduk dan gegantung yang terbuang telah dikitar semula menjadi barangan berguna seperti beg tote dan beg membeli-belah untuk kegunaan para pelajar universiti.

Mereka telah membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM10,000, sebuah trofi dan sijil penyertaan.

Naib juara pula telah dimenangi oleh pasukan Re-FAB, sebuah pasukan campuran universiti dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan UTHM, manakala pasukan Therapy Lab dari Albukhary International University (AIU) pula memenangi hadiah ketiga yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 dan RM3,000.

Lapan pasukan lain dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IUAM), dan University of Wollongong Malaysia (UOW) KDU masing-masing menerima hadiah sagu hati, RM1,500.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich mengucapkan tahniah kepada semua pasukan Cabaran EcoBiz peringkat akhir yang telah menunjukkan daya tahan, kepintaran dan komitmen dalam membangunkan idea inovatif untuk menangani masalah sisa bahan di negara ini.

Joel Kornreich pada majlis penutupan secara maya EcoBiz Challenge 4.

“Menyaksikan usaha para pelajar ini mempromosikan kesedaran dan memacu tindakan untuk mengurangkan impak sisa terhadap alam sekitar adalah sesuatu yang membanggakan,” katanya pada majlis penutupan, yang diadakan baru-baru ini.

Cabaran Ecobiz Alliance Bank merupakan pertandingan bertemakan alam sekitar di mana para pelajar peringkat tinggi dikehendaki membangunkan penyelesaian perniagaan yang mantap dan mampan untuk menangani isu-isu alam sekitar, ekonomi atau sosial.

Cabaran EcoBiz musim ini yang bertemakan ‘Menginspirasikan Malaysia menjadi Negara Sifar Sisa’ menggalakkan para peserta untuk membangunkan perniagaan sosial mesra alam yang mampan bagi menyokong budaya pengurusan sisa secara bertanggungjawab.

Artikel berkaitan

Pelajar Malaysia juara pertandingan inovasi peringkat antarabangsa, raih USD$5,000

Raih 10 pingat, UTeM menang besar di ITEX 2022

Tanpa mereka, mana mungkin saya dinobatkan sebagai penerima Guru Cemerlang Pendidikan Khas - Cikgu Kumaresan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp