HomeIPTBuletin IPTKPT tubuhkan jawatankuasa baharu, usaha memartabatkan bahasa Melayu

Artikel Berkaitan

KPT tubuhkan jawatankuasa baharu, usaha memartabatkan bahasa Melayu

PUTRAJAYA – Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Negara-negara ASEAN.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, penubuhan jawatankuasa ini sesuai dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri lsmail Sabri Yaakob agar bahasa Melayu dimartabatkan di peringkat antarabangsa.

Baca juga

KPT terus pantau pelajar Malaysia terlibat banjir di Queensland, Australia

Perang Rusia dan Ukraine: KPT terus pantau kebajikan pelajar Malaysia

“Jawatankuasa ini antara lain berperanan untuk merancang pemetaan program kerjasama dalam pelbagai aktiviti seperti penyelidikan, pengembangan bahasa Melayu di IPT di negara-negara ASEAN dan program terjemahan serta adaptasi karya-karya ilmu.

“KPT turut mengenal pasti 19 universiti di Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina yang berpotensi untuk diadakan program-program kolaboratif dengan universiti tempatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Facebook KPT.

Dalam pada itu, KPT turut mengumumkan pelantikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sebagai sekretariat bagi memulakan kerjasama strategik untuk mengembangkan aspek-aspek penting tamadun alam Melayu ke peringkat antarabangsa.

Beliau juga berkata, terdapat kira-kira 300 juta orang penutur bahasa Melayu di negara induk bahasa Melayu dan di negara ASEAN lain yang mempunyai komuniti berbahasa Melayu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Oleh itu, program pengembangan bahasa Melayu di IPT di negara-negara ASEAN ini dapat melonjakkan taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bukan sahaja lingua franca bahkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa bernilai ekonomi di rantau ini,” jelas beliau.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, Malaysia telah menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

“Sudah sampai masanya kita perlu bangga dengan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan, kita bertanggungjawab memperkasa bahasa Melayu,” ujar beliau.

Artikel Terkini