Kreatif bangunkan inovasi e-gamifikasi membolehkan Cyber Squad muncul juara MKBC’22
Pasukan Cyber Squad dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul juara dalam pertandingan Minecraft Kampus Barakah Challenge 2022 (MKBC’22), baru-baru ini.
Dengan kemenangan itu, mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 beserta sijil penghargaan.
Naib juara pula dirangkul pasukan Al-Hijaz dari Fakulti Pengajian Bahasa dan Utama dengan meraih hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.
Manakala tempat ketiga dimenangi pasukan Fuji Pro dari Fakulti Pergigian dan hadiahnya adalah RM500 beserta sijil penghargaan.
MKBC’22 yang julung kali diadakan itu merupakan pertandingan menguji daya kreativiti dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan e-gamifikasi di mana para peserta perlu bersaing untuk mempamerkan keunggulan mereka membangunkan aplikasi World di platform Minecraft Education Edition dengan menerapkan elemen Maqasid Shariah mengikut niche (khusus bagi suatu bidang atau jurusan) fakulti atau Pusat Tanggungjawab (PTj) masing-masing.
Dalam pertandingan itu, para peserta diberi masa empat bulan bermula Mei hingga 3 Ogos lalu untuk proses pembangunan Minecraft.
Sebanyak 12 pasukan dari pelbagai fakulti dan PTj USIM menyertai MKBC’22 anjuran Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (CeTL) dan USIM e-Gamifikasi Committee (UeGC) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sistem & Kejuruteraan (SDEC).
Bagaimanapun, hanya tiga pasukan sahaja yang layak ke peringkat akhir iaitu pasukan Cyber Squad, Al-Hijaz dan Fuji Pro.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Mohd Radhi Ibrahim berkata, pelaksanaan MKBC’22 adalah bertepatan dengan objektif pemerkasaan inovasi e-pembelajaran selain melestarikan teknologi terkini menerusi penggunaan aplikasi mesra pengguna dan memenuhi keperluan pembelajaran serta pengajaran semasa.
“Usaha ini sekali gus dapat mencetuskan impak positif dalam pembangunan kandungan e-gamifikasi di samping menyemarakkan perkembangan inovasi dan pembudayaan pengkayaan e-pembelajaran dalam kalangan staf akademik khasnya serta pelajar amnya,” ujarnya semasa merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang MKBC’22 di universiti tersebut.
Artikel berkaitan
Rangkul naib johan dan pendebat terbaik, USIM kongsi tip kejayaan mereka
Muhammad Hakimi teruja diberi peluang lanjutkan pengajian di USIM