UTHM4
UTHM4

Kreatifnya! Pelajar SKTG teruja sertai program Sisa Kepada Harta dan STEM

Norliza Wasilan
04 Oct 2022 02:00pm
A
A
A

Sekumpulan 19 pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil pendekatan kreatif menarik pelajar sekolah mengitar semula bahan buangan seperti minyak masak terpakai dan juga sisa plastik.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Tanjong Gading (SKTG) yang menyertai program Sisa Kepada Harta dan STEM itu didedahkan dengan penghasilan sabun organik menggunakan minyak masak terpakai manakala sisa plastik menjadi bahan menghasilkan eco-brick.

Bagi memeriahkan program itu, booth atau reruai pameran produk sabun berasaskan minyak masak terpakai telah disediakan dan berjaya memperoleh hasil jualan sebanyak RM91.

Pelajar turut tidak melepaskan peluang untuk terbabit sama menyertai aktiviti jualan sabun berasaskan minyak masak terpakai ketika program berlangsung.

Sepanjang berlangsungnya program Sisa Kepada Harta dan STEM bermula 1 Jun sehingga 21 September lalu di sekolah berkenaan, pelbagai aktiviti diadakan antaranya  mengumpul kertas, plastik, tin dan kaca.

Menurut Pengarah Program, Sumaiya Mashori, program berkenaan berjaya memupuk kesedaran pelajar mengenai pentingnya penjagaan alam sekitar.

“Buktinya, program ini telah berjaya mengumpul 617.5 kilogram (kg) barang kitar semula merangkumi 489.5 kg kertas, 91.5 kg plastik, 34.3 kg tin dan 2 kg kaca.

“Dalam tempoh 16 minggu pelaksanaan program ini, komuniti SKTG berjaya mengumpul 254 botol eco-brick daripada sisa plastik dan menghasilkan binaan replika bunga raya daripada 232 botol yang dikumpulkan,” ujarnya seperti disiar media sosial  Facebook UTHM, baru-baru ini.

Ts Dr Roslinda Ali bersama replika bunga raya yang dihasilkan daripada 232 botol eco-brick. Foto/UTHM.

Pada program itu juga, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr Nofrizalidris Darlis menyerahkan watikah pelantikan SKTG sebagai sekolah angkat FTK UTHM.

Hadir sama, Pegawai Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Kerajaan SWM Environment Sdn Bhd, Muhamad Bakhtiar Azni. Syarikat berkenaan adalah rakan strategik bagi program berkenaan.

Pameran kereta menggunakan tenaga solar dan angin yang berjaya dibina. Foto/UTHM.

Mengulas lanjut, tambah Sumaiya, program itu juga dapat mendidik masyarakat seawal sekolah rendah untuk usaha kitar semula.

“Program ‘Sisa Kepada Harta’ ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar sampah, memudahkan proses kitar semula serta mendidik masyarakat bermula dari sekolah rendah.

“Ia sekali gus membantu SKTG mencapai hasrat penglibatan dalam Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (program memupuk kesedaran Masyarakat Rendah Karbon (MRK) membabitkan pelajar sekolah rendah, guru dan masayarakat di Iskandar Malaysia melalui pendidikan di sekolah),” katanya.

Artikel berkaitan

112 pelajar Politeknik Muadzam Shah, cipta arca berasaskan bahan kitar semula

Perjuangan Cikgu Mardiana dalam amalan kitar semula wajar dicontohi ramai

Pertandingan Waste is Amazing: Merdeka Special Upcycling cungkil bakat reka cipta pelajar sekolah rendah dan menengah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok