WhatsApp Image 2022-10-29 at 3.14.46 PM
WhatsApp Image 2022-10-29 at 3.14.46 PM

Lebih 20,000 pelajar terima manfaat pembiayaan pendidikan TNB sejak 1993

Adlan Farhan Azwan
29 Oct 2022 03:18pm
A
A
A

Lebih 20,000 pelajar telah mendapat manfaat meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) melalui pelbagai pembiayaan pendidikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berjumlah lebih RM1.7 bilion sepanjang 20 tahun lalu sejak penubuhan Yayasan Tenaga Nasional (YTN) pada 1993.

Pembiayaan itu diberikan menerusi biasiswa dan dermasiswa yang dikenali sebagai TNB Prime Scholarship, TNB Shine Sponsorship, Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) dan yang terbaru, Biasiswa Khas TNB untuk anak-anak Orang Asli.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin, TNB sentiasa berusaha menyokong hasrat kerajaan untuk membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif terutamanya membangunkan potensi generasi muda dan meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi peluang pendidikan berkualiti.

"Penajaan pendidikan ini adalah peluang keemasan bagi penerimanya untuk mengikuti pengajian di IPT dan membangunkan potensi diri yang mana manfaatnya bukan sahaja dinikmati oleh diri sendiri tetapi turut dirasai oleh ahli keluarga pelajar," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan YTN bagi pelajar UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Bandar Muadzam Shah, Pahang pada 22 Oktober lalu.

Para penerima Anugerah Khas TNB dalam kalangan anak-anak orang asli bersama Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin (tengah), Ketua Pegawai Insan TNB, Wahizan Abdul Rahman (tengah kiri) dan Pengarah YTN, Mohamad Nor Azali Lajin (tengah kanan).

Tahun ini, seramai 470 pelajar menikmati pembiayaan yang meliputi 60 penerima TNB Prime Scholarship, 30 TNB Shine Sponsorship dan 10 penerima Biasiswa Khas TNB manakala 370 lagi adalah penerima MyBF dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40).

Buat masa ini lebih 6,200 pelajar tajaan YTN sedang mengikuti pengajian di IPT dengan pembiayaan sebanyak RM100 juta merangkumi yuran pendaftaran, yuran pengajian, elaun sara hidup bulanan dan elaun komputer.

Tutur Hasan, ia merupakan hasrat TNB untuk memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan komuniti dan peluang pendidikan terbaik kepada rakyat, terutamanya golongan B40 selari dengan inisiatif Peralihan Tenaga TNB yang berteraskan Alam Sekitar Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Tahun ini TNB melalui YTN menawarkan biasiswa kepada anak-anak Orang Asli untuk mengikuti pengajian peringkat diploma dalam bidang Perakaunan dan Pengajian Bisnes di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

“Saya percaya jika diberi peluang penajaan di samping dibimbing oleh tenaga pengajar yang berkualiti, anak-anak ini mampu berjaya dan seterusnya membina kehidupan lebih baik untuk keluarga dan masyarakat keseluruhan,” ujarnya.

Penerima-penerima TNB Prime Scholarship, TNB Shine Sponsorship dan Biasiswa Khas TNB bersama Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin, Ketua Pegawai Insan TNB, Wahizan Abdul Rahman dan Pengarah YTN, Mohamad Nor Azali Lajin selepas Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan YTN bagi pelajar UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Bandar Muadzam Shah, Pahang.

Sementara itu, YTN telah menerima lebih 10,800 permohonan daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini untuk mendapatkan biasiswa TNB Prime Scholarship dan TNB Shine Sponsorship yang akan dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik, kepimpinan dan penglibatan aktif dalam kokurikulum.

Bagi Biasiswa Khas TNB, YTN telah bekerjasama dengan UNITEN dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mengenalpasti para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan SPM lalu untuk ditawarkan biasiswa.

Selain pembiayaan kewangan, YTN turut menyediakan program-program pembangunan untuk pelajar tajaan dengan hasrat membangunkan potensi mereka dari sudut kemahiran insaniah dan kepimpinan.

Artikel berkaitan

93 pelajar cemerlang dapat tajaan biasiswa TNB

“Terima kasih UNITEN” - Graduan cemerlang gagal UPU lega ditawarkan tempat dengan jurusan pilihan

Nurul Izzati sebak ditawar biasiswa zakat sepanjang pengajian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok