Nurul Izzati sebak ditawar biasiswa zakat sepanjang pengajian
Nurul Izzati sebak ditawar biasiswa zakat sepanjang pengajian

Nurul Izzati sebak ditawar biasiswa zakat sepanjang pengajian

Roshlawaty Md Raieh
11 Oct 2022 01:32pm
A
A
A

Sebak! Itulah perasaan yang dialami Nurul Izzati Norlia @ Zulkifli, apabila ditawarkan pembiayaan penuh biasiswa zakat sepanjang pengajian oleh Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), ketika kunjungan mereka ke rumahnya, baru-baru ini.

Dia yang merupakan anak yatim piatu sejak tiga tahun lalu, bakal mengikuti program Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan), Fakulti Perikanan dan Sains Makanan di universiti terbabit benar-benar terharu dan berterima kasih kepada PISM UMT kerana memilihnya sebagai penerima biasiswa berkenaan.

Nurul Izzati yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ke UMT tidak menyangka ALLAH telah memakbulkan segala doa selama ini.

"Inilah yang saya doakan sebelum ini, iaitu mahu melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi," ujarnya.

Menurut Nurul Izzati, di sebalik rezekinya menerima tawaran biasiswa itu, ada kisah sedih yang perlu dia lalui.

“Sebenarnya, saya pernah menolak tawaran untuk belajar di sini disebabkan masalah kewangan.

“Ini kerana, saya telah kehilangan kedua ibu bapa tiga tahun lalu. Jadi, sebagai anak sulung daripada tiga adik beradik, sayalah yang harus menjaga dan menanggung mereka yang masih bersekolah sehingga terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran ke UMT.

“Tetapi, apabila PISM UMT datang ke rumah dan menawarkan biasiswa serta memberikan semangat untuk saya meneruskan pengajian, saya jadi sebak. Insya-ALLAH, saya akan gunakan peluang diberikan untuk mengubah nasib saya dan adik-adik serta saudara mara yang lain," tuturnya.

Selain Nurul Izzati, turut menerima pembiayaan penuh biasiswa zakat sepanjang pengajian tersebut ialah pelajar baharu program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian, Faziera Faisal.

Antara pelajar baharu yang mendaftar ke UMT, baru-baru ini.

Sebelum itu, syarat kelayakan bagi penerima pembiayaan penuh biasiswa zakat sepanjang pengajian terdiri daripada lima kriteria.

Kriteria tersebut adalah warganegara Malaysia dan anak Terengganu; pelajar pra siswazah yang berstatus aktif; pendapatan isi rumah tidak melebih RM3,000 sebulan; berbaki minimum empat semester dan tiada tajaan serta menghadapi masalah kewangan yang kritikal.

Sementara itu, bagi pelajar baharu program Sarjana Muda Sains (Biologi Marin), Mohd Sharul Zakaria yang menerima zakat Dermasiswa Al-Ikhlas UMT memberitahu, pemberian zakat tersebut begitu bermakna dalam penyediaan keperluan ketika pendaftaran ke kampus.

“Ayah saya ada penyakit jantung dan dia tidak boleh melakukan pekerjaan berat.

“Disebabkan perkara itu, keluarga saya memang berhadapan dengan masalah kewangan. Namun apabila terpilih untuk menerima zakat Dermasiswa Al-Ikhlas UMT, saya sangat gembira dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak kerana memilih saya sebagai penerima zakat,” jelasnya.

Kaum keluarga turut serta menghantar anak masing-masing ke universiti ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, pihaknya amat peka dengan nasib pelajar asnaf.

“Fasa pemulihan pandemik merupakan fasa yang sukar bagi golongan B40 dalam mengharungi liku-liku kehidupan.

“Oleh itu, pelan pembangunan asnaf telah dirancang dan dilaksanakan dengan memperkenalkan program AsnafXChange, AsnafPLUS dan AsnafPro.

“Bagi pendaftaran pelajar baharu kali ini, seramai 500 orang telah terpilih untuk menerima zakat Dermasiswa Al-Ikhlas sebanyak RM500 seorang dan jumlah keseluruhannya ialah sebanyak RM250,000,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas di Dewan Sultan Mizan UMT, baru-baru ini.

UMT menerima sejumlah 2,149 pelajar baharu bagi sesi pengambilan 2022/2023 yang terdiri daripada 646 pelajar lelaki dan 1,503 pelajar perempuan.

Universiti yang tidak asing dengan bidang maritim dan sumber akuatik itu terus komited untuk menjadi sebuah universiti berfokuskan marin terunggul negara dalam usaha menterjemahkan ilmu untuk kelestarian alam dan kesejahteraan masyarakat.

Artikel berkaitan 

Rezeki! 61 pelajar B40 terima biasiswa peringkat tertiari penuh

Teringin belajar di Jepun, ini antara biasiswa yang pelajar boleh cuba mohon

Penyelidik UMT jalankan kajian berkaitan habitat dan pembenihan ketam bakau


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok