‘Let’s Science Up’, bantu tingkat minat pelajar dalam subjek Sains
‘Let’s Science Up’, bantu tingkat minat pelajar dalam subjek Sains

‘Let’s Science Up’, bantu tingkat minat pelajar dalam subjek Sains

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
27 Sep 2022 02:18pm

‘Let’s Science Up’ merupakan kit Sains ciptaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Waghih dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Negeri Sembilan yang dilihat mampu meningkatkan minat dan pemahaman pelajar sekolah rendah menguasai subjek Sains.

Menurut Ketua KIK Waghih, Ts Dr Aslizah Mohd Aris, ‘Let’s Science Up’ atau kit alat bantu belajar Sains selain disasarkan untuk para pelajar ia juga mampu membantu guru mata pelajaran tersebut melancarkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Tambahan pula, aktiviti ini turut menyokong kepada pencapaian aspirasi Globally Renowned University (GRU) bagi UiTM menjelang 2025, yang memberi penekanan untuk pembangunan penyelidikan translasional, inovasi dan pengkomersialan serta memperluas jaringan kerjasama pintar bersama-sama komuniti, industri dan alumni.

Sebagai permulaan, Dr Aslizah berkata, sebanyak tiga buah sekolah sekitar daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan, terlibat dalam kajian ujilari dan replikasi kit Sains.

Sekolah-sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Yamtuan Lenggang (kajian kehendak pengguna); SK Kuala Pilah (ujilari atau percubaan kit) dan SK Felda Pasoh 2 (proses replikasi).

Ujarnya lagi, menerusi dapatan yang dilakukan, majoriti pelajar sangat teruja, seronok dan berminat untuk mempelajari subjek Sains kerana kit ‘Let’s Science Up’ adalah produk yang mesra pelajar dan guru.

Aslizah turut menjelaskan, PdP Sains tidak hanya tertumpu kepada teori semata-mata sebaliknya aktiviti eksperimen di makmal atau bilik sains sekolah amat penting bagi menyokong pembelajaran pelajar.

Aslizah

“Para pelajar mempunyai kecenderungan atau gaya belajar yang berbeza. Oleh itu, eksperimen Sains perlu dilakukan agar pelajar boleh menghubung kait teori dengan sumber praktikal.

“Dengan pengalaman pembelajaran secara praktikal ini, pelajar berupaya melakukan sendiri eksperimen, melihat, memerhati serta mengintepretasikan hasil eksperimen dengan teori yang dipelajari dan juga kaitannya dengan kehidupan sendiri,” katanya.

Kit Sains ini yang dibangunkan dengan mengambil kira input yang diperolehi hasil soal selidik bagi memenuhi kehendak pengguna turut dilengkapi dengan kombinasi buku panduan Sains yang menarik, mudah difahami dan dilengkapi dengan peralatan serta medium untuk beberapa ujikaji (eksperimen) ringkas.

Let’s Science Up beri peluang pelajar mengaplikasi pembelajaran secara teori kepada kaedah praktikaliti.

Direka untuk memenuhi aspek keselamatan dan mudah dibawa serta dilengkapi dengan empat modul eksperimen yang sangat menarik, ia turut dikhususkan kepada beberapa topik daripada bidang mikrobiologi yang merangkumi alga, bakteria, fungi dan virus.

Pembangunan kit ‘Let’s Science Up’ ini direalisasikan hasil cetusan idea untuk mensasarkan lebih ramai generasi muda meminati dan menceburi bidang Sains.

Kini, produk tersebut telah berada di pasaran awal September lalu.

Sebelum dikomersialkan, Let’s Science Up melalui pelbagai proses ujilari, kajian kehendak pengguna dan replikasi.

Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan, Dr Muhammad Aidil Ibrahim menjelaskan, keempat-empat modul berkenaan mudah diaplikasi dan memberi impak yang lebih nyata kepada para pelajar berbanding pembelajaran secara teori semata-mata.

“Kit ‘Let’s Science Up’ dibangunkan dengan konsep universal di mana ia juga sesuai digunakan oleh pelajar yang sedang mempelajari topik berasaskan sains mikrobiologi dan penggunaannya boleh disesuaikan untuk pelbagai lapisan umur pelajar.

Dr Muhammad Aidil

“Selain itu, ia dilengkapi dengan bahan sokongan pembelajaran yang dapat diakses melalui kod QR bagi mengadaptasi transformasi kaedah PdP pada masa kini.

“Kit ini juga dapat mengalakkan pelajar menggunakan peralatan sains seperti mikroskop, tiub tabung uji dan pipet,” ujarnya.

Kumpulan Waghih yang dianggotai tujuh Pensyarah Kanan UiTM cawangan Negeri Sembilan iaitu Ts Dr Aslizah, Dr Muhammad Aidil, Dr Amirul Adli Abd Aziz, Dr Muadz Ahmad Mazian, Wan Admiza Wan Hassan, Dr Wahidah Mohd Zain, Siti Hajar Md Jani dan Norshamsina Daud (fasilitator) pernah muncul johan Pertandingan Konvensyen KIK UiTM Peringkat Zon Selatan yang berlangsung Ogos lalu.

Mereka akan meneruskan persaingan di peringkat seluruh UiTM pada 17 Oktober depan.

INFO

- Kit ‘Let’s Science Up’ melibatkan topik sains dalam bidang mikrobiologi iaitu alga, bakteria, fungi dan virus.

1) Kit 1

Melibatkan modul eksperimen untuk membuktikan alga mempunyai sifat tumbuhan yang menghasilkan makanan melalui proses fotosintesis.

2) Kit 2

Melibatkan eksperimen yang menggunakan mikroskop yang mana sampel boleh dipelbagaikan sama ada sampel demo atau sampel pengguna sendiri.

3) Kit 3

Melibatkan eksperimen untuk membuktikan kulat menjalankan proses hidup seperti benda hidup yang lain termasuk bernafas dan memerlukan sumber makanan untuk hidup.

4) Kit 4

Merupakan aktiviti membina struktur model virus dan pembuktian virus boleh dinyahaktifkan menggunakan air panas atau sabun pencuci. Kit ini berupaya mengaitkan konsep menjaga kebersihan di dalam kehidupan seharian

Artikel berkaitan 

Inovasi ciptaan 10 pelajar jadi pilihan juri, ini pesanan guru pembimbing kepada mereka

4 perkara penting dalam penulisan pelaporan inovasi, sila hadam!

Anugerah Pengarah bukti kesungguhan Mohd Hamzah untuk menjadi arkitek berjaya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp