“Mereka tak mahu ambil bekerja kerana saya tidak sempurna” - Luahan hati graduan OKU buat ramai sebak
“Mereka tak mahu ambil bekerja kerana saya tidak sempurna” - Luahan hati graduan OKU buat ramai sebak

“Mereka tak mahu ambil saya bekerja kerana diri tidak sempurna” - Luahan hati graduan OKU buat ramai sebak

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
22 Sep 2022 04:44pm

“Saya sedar diri tidak sempurna, namun adakah disebabkan itu saya tidak boleh bekerja ‘makan gaji’ seperti orang lain?” Inilah luahan salah seorang graduan GIATMARA Kuantan, Pahang, Nadiatul Nabilah Mazli dalam nada sebak.

Dia yang mengalami kecacatan fizikal kaki sejak lahir berkata, pelbagai permohonan pekerjaan telah diisi sebelum ini, namun keputusan yang diterima sangat mengecewakan.

“Ada majikan yang tidak dapat menerima saya bekerja atas sebab kecacatan yang dimiliki.

“Kata mereka, adakah saya mampu bekerja dengan baik dan dapat bergerak ke sana sini terutamanya jika perlu naik dan turun tangga,” ujarnya yang pernah mengalami depresi disebabkan perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Nadiatul Nabilah memberitahu, tiada siapa pun di dunia ini yang mahu dilahirkan dalam keadaan tidak sempurna.

Namun sebagai manusia, dia menerima segala yang telah ditakdirkan dan percaya setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya.

Biar pun Nadiatul Nabilah tergolong sebagai graduan Orang Kurang Upaya (OKU), namun perjalanannya sebagai seorang pelajar ketika mengikuti pengajian di GIATMARA berjalan lancar.

“Ya, saya bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian Sijil Profesional dalam jurusan Graphic Design & Advertising.

“Walaupun saya memerlukan tongkat dan kerusi roda untuk bergerak, namun ALLAH tetap memberikan saya kejayaan dalam pengajian. Alhamdulillah,” ujarnya yang mengikuti pengajian selama sembilan bulan dalam jurusan itu walaupun telah memiliki Diploma Pengurusan Perniagaan dari Kolej Antarabangsa Perniagaan dan Pengurusan di Cheras, Kuala Lumpur sebelum ini.

Nadiatul Nabilah kini berjaya membuka perniagaan sendiri iaitu Syarikat Anne Nadia Creative Solution.

GIATMARA banyak membantu

Sepanjang belajar di GIATMARA, anak kelahiran Kuantan ini berkata, pusat latihan kemahiran tersebut banyak membantunya melengkapkan ilmu kemahiran dalam reka bentuk grafik.

“Saya seronok belajar di sini. GIATMARA bukan sahaja membentuk peribadi mulia, tetapi berjaya melahirkan pelatih berkemahiran yang mampu menonjol dalam bidang masing-masing,” ujarnya yang kini sudah berjaya mengendalikan perisian adobe hasil pembelajarannya di GIATMARA.

Menurut anak sulung daripada tujuh adik beradik ini lagi, peluang belajar di GIATMARA adalah satu kegembiraan buat dirinya kerana dia bukanlah datang daripada keluarga yang senang.

“Alhamdulillah, di GIATMARA ini, saya hanya perlu membayar RM200 sahaja sepanjang pengajian sehinggalah tamat praktikal.

“Malah, GIATMARA juga memberikan elaun khas sebanyak RM200 sepanjang belajar di sini.

“Dengan elaun ini, dapatlah menampung sedikit sebanyak perbelanjaan peralatan pengajian, minyak motor, makan dan minum serta banyak lagi,” jelasnya.

Akhir sekali, Nadiatul Nabilah menitipkan pesanan kepada golongan OKU agar terus berusaha dan tidak berputus asa dalam apa jua perkara yang dilakukan.

“Jangan pernah berputus asa. Teruskan berjuang demi meneruskan kehidupan. Semoga kita (golongan OKU) akan mendapat tempat di hati semua orang,” ujarnya yang kini berjaya membuka perniagaan sendiri iaitu Syarikat Anne Nadia Creative Solution.

Syarikat tersebut menawarkan perkhidmatan reka bentuk latar pentas, sepanduk, resume, tag nama, penanda arah, kad kahwin dan sebagainya untuk keperluan masyarakat.

Artikel berkaitan 

Buta sebelah mata, sumbangan guru OKU ini, tunjang kejayaan SK Tambun Tulang

Kepakaran Muhammad Firdaus ditagih pasukan Moto 3 Sepanyol

Bidang Penyejukan dan Penyamanan Udara, kerjaya menjamin masa hadapan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp