1cea14d3-7fd5-4a68-accb-cf745ff0c22f
1cea14d3-7fd5-4a68-accb-cf745ff0c22f

Misi bantuan kemanusiaan, UPM dan UTeM turun padang ringankan beban mereka banjir

Roshlawaty Md Raieh
05 Jan 2022 01:23pm
A
A
A

Ramai sukarelawan dari institusi pengajian tinggi (IPT) menawarkan diri secara sukarela bagi membantu mangsa yang terlibat dengan bencana banjir di beberapa daerah di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka baru-baru ini.

Antara IPT yang turut serta dalam misi bantuan kemanusiaan itu ialah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) .

Bagi UPM, tragedi banjir yang melanda Selangor pada 18  hingga 20 Disember lalu telah membuatkan hampir 50 kakitangan mereka terjejas teruk akibat bencana alam tersebut.

Untuk itu, UPM dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) melaksanakan Program Putra Cakna: Misi Bantuan Banjir kepada staf, alumni dan pelajar UPM yang terjejas.

Sebahagian sukarelawan UPM dan ARCUPM yang terlibat dalam Program Putra Cakna: Misi Bantuan Banjir, baru-baru ini.

Pengarah ARCUPM, Profesor Madya Dr Arba’ie Sujud berkata, pelbagai sumbangan makanan dan keperluan berjaya dikumpul daripada alumni dan diagihkan kepada mereka yang terjejas demi meringankan beban dan juga tanda solidariti kepada rakan yang terkesan.

Baca juga Tip baiki komputer dan komputer riba ditenggelami air

Baca juga Pelajar POLIMAS bergelumang dalam lumpur, bantu mangsa banjir di Bentong, Pahang

“Antara alumni terawal yang hadir menghulurkan bantuan ialah Amco Niaga Sdn Bhd iaitu Mat Amin Jaafar (alumni kelas 1994) dan Yahya Bazlan Ismail (alumni kelas 1995) yang telah menyumbang 50 kampit beras dan 50 pek sumbangan berupa makanan kering untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Sumbangan ini juga datangnya daripada orang perseorangan yang ingin bersama-sama membantu dan meringankan beban yang dihadapi oleh mereka. Para pelajar UPM juga tidak terkecuali, mereka turut serta dalam misi pembersihan rumah, masjid dan pejabat yang teruk ditenggelami air,” katanya.

Dalam misi bantuan kemanusiaan tersebut, ARCUPM dan 33 pelajar Chapter Ambbasador Student (CSA) UPM turut pergi ke beberapa buah kawasan seperti Pusat Pertanian Meru, Klang, dan rumah staf UPM yang ditenggelami air sekitar Banting, Puchong dan Shah Alam bagi membantu mereka.

Sementara itu, Pegawai Sains, Institut Biosains UPM, Arba’ah Md Salleh yang turut menjadi mangsa banjir berkata, kehadiran rakan-rakan dan pengurusan universiti dalam membantu urusan pembersihan telah memberinya semangat untuk bangkit kembali.

“Semangat yang hilang seakan kembali saat melihat ramai daripada kalangan pengurusan UPM, Pusat Perhubungan Alumni dan rakan-rakan lain serta pelajar datang membantu. Sebak, sayu, sedih semua bersatu.

“Ini ujian untuk kami dan untuk kita semua. Saya terima ini sebagai satu ingatan daripada ALLAH bahawa tiada yang kekal selain ketakwaan dan keimanan terhadapNya,” ujarnya.

TUAH UTeM bantu mangsa banjir di Melaka

Sementara itu, UTeM terus prihatin dan cakna terhadap mangsa bencana banjir dan terus menggerak misi bagi membantu golongan yang terjejas akibat bencana alam tersebut.

Inisiatif yang digerakkan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar bersama Tuah Volunteer Team (TVT) telah mengadakan misi bantuan pembersihan rumah dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas di Telok Berembang, Lubok Cina Melaka.

Pembersihan dilakukan oleh sukarelawan UTeM sebaik sahaja air banjir surut.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, misi itu melibatkan sukarelawan dalam kalangan kakitangan dan pelajar UTeM iaitu Team MyHEP UTeM bersama TVT dan Sektetariat Anak Melaka (SAM).

“Kira-kira 45 pelajar dan lapan staf MyHEP UTeM terlibat dalam misi ini.

“Masing-masing telah dimaklumkan tentang tugas yang dilaksanakan dan harapnya dengan inisiatif ini dapat memupuk semangat bantu-membantu sesama komuniti warga UTeM, sekali gus merealisasikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Pasukan sukarelawan TVT yang baharu dilancarkan pada 15 Disember lalu dan diketuai Che Ku Azryzal Che Ku Azih bersama 45 sukarelawan, sentiasa bersedia memberikan bantuan tenaga dan menyumbangkan pek makanan untuk mangsa yang terkesan akibat banjir.

“Saya cukup berbangga dengan semangat yang tinggi dan komitmen sukarelawan TVT yang sanggup berkorban masa dan tenaga bagi membantu mangsa banjir yang selari dengan ciri TUAH UTeM iaitu Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik,” ujarnya.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok